PETALING JAYA: Kenaikan tarif perdagangan antara negara-negara kuasa besar terus mencetuskan kebimbangan terhadap kestabilan industri perkapalan global, kata penganalisis ekonomi
Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Maritim Universiti Malaysia Terengganu, Dr. Izyan Munirah Mohd. Zaideen berkata, pengenaan tarif dijangka memberi kesan negatif kepada industri perkapalan apabila ia mendorong peningkatan kos operasi kapal, sekali gus menekan rantaian perdagangan.
“Kenaikan kos tersebut berupaya melonjakkan harga barangan yang akhirnya mengurangkan permintaan import dan eksport serta menyusutkan jumlah kargo yang dihantar.
“Kesan ini bakal dirasai oleh syarikat perkapalan domestik yang berkemungkinan terjejas dengan peningkatan kos operasi dan ketidaktentuan pasaran.
“Selain itu, syarikat perkapalan kecil dijangka paling terkesan kerana mereka bakal berdepan cabaran besar berikutan volum dagangan berkurang dan dijangka sebahagian syarikat kecil berisiko keluar dari pasaran dalam jangka panjang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Izyan Munirah berkata, strategi khusus perlu diambil untuk menangani krisis tersebut seperti mewujudkan kerjasama strategik dan kerajaan boleh mempertimbangkan pemberian subsidi atau rebat cukai kepada syarikat kecil bagi mengurangkan kesan tarif.
“Pada masa sama, Malaysia juga wajar memanfaatkan perjanjian perdagangan serantau seperti ASEAN. Walaupun tarif sering dilihat memberi kesan negatif, ia juga boleh berpotensi membuka peluang baharu melalui peningkatan permintaan kepada pasaran domestik,” katanya.
Sementara itu, Profesor Madya di iCATS University College, Kuching, Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, perang perdagangan antara ekonomi utama seperti Amerika Syarikat (AS) dan China serta peningkatan langkah proteksionis di Eropah dan Asia telah memberi kesan langsung kepada volum dagangan dunia, seterusnya, industri perkapalan.
“Pemain industri kini menghadapi dua tekanan utama iaitu penurunan volum kargo dan kenaikan kos operasi.
“Banyak syarikat perkapalan terpaksa mengubah laluan dan mengagihkan semula armada mereka untuk menyesuaikan dengan permintaan baharu, termasuk mencari laluan alternatif untuk mengelak tarif tinggi.
“Walaupun tekanan jangka pendek ini nyata, beberapa syarikat perkapalan melihat peluang jangka panjang.
“Mereka kini lebih giat melabur dalam teknologi automasi, pemantauan digital dan penggunaan bahan api mesra alam bagi mengurangkan kos serta meningkatkan kecekapan operasi,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, usaha untuk memeterai perjanjian perdagangan baharu oleh negara-negara ASEAN dan rakan dagangan luar memberi sedikit sinar kepada industri.
“Perjanjian seperti Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dijangka membantu mengurangkan ketegangan tarif dan menggalakkan aliran dagangan intra-Asia yang lebih stabil.
“Jadi, dalam jangka pendek, industri dijangka kekal berdepan cabaran, terutamanya jika ketidaktentuan geopolitik dan dasar tarif berterusan. Namun dalam jangka panjang, penyesuaian rantai bekalan global dan perluasan pasaran baharu boleh membuka ruang pemulihan,” ujarnya. – UTUSAN











