Pas tidak boleh hanya berlegar sekitar satu kelompok

Pas tidak boleh hanya berlegar sekitar satu kelompok

Pas
Bakri Jamaluddin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR:  Perjuangan Pas tidak boleh hanya sekadar berlegar sekitar satu kelompok supaya selari dengan prinsip ‘Pas for All’.

Perwakilan Pas Melaka, Bakri Jamaluddin berkata, Malaysia adalah negara berbilang kaum dan agama yang mana menuntut supaya perjuangan mereka tidak hanya berlegar sekitar satu kelompok.

Katanya, perlu dirangka satu gerakan yang membawa kesejahteraan kepada semua rakyat tanpa mengira fahaman politik.

Lagi pula katanya, Pas adalah parti untuk semua, ‘Pas For All’  yang mesti melihat lebih jauh kepada keperluan serta kebimbangan semua komuniti termasuk Melayu, Cina, India, Orang Asli, Sabah dan Sarawak serta menanganinya secara bijaksana, inklusif dan holistik berpaksikan kepada keadilan Islam.

“Yang kedua, menonjolkan nilai Islam yang universal. Sebagai seorang insan tidak kira apa agamanya atau keturunannya, apa yang mereka perlukan dalam kehidupan bermasyarakat?

“Jawapannya mudah, insan perlukan keadilan, kebajikan, saling menghormati dan menghargai serta kasih sayang.

“Inilah nilai universal yang ada di dalam Islam dan sangat didambakan oleh masyarakat yang berbilang kaum khususnya di negara yang kita cinta ini,” ujarnya ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar Tahunan Pas ke-71, Kota Sarang Semut, di sini hari ini.

Katanya, rakyat ternanti-nanti penyelesaian terhadap permasalahan yang dihadapi, tertanya-tanya siapakah pemimpin atau parti manakah yang benar-benar dapat melaksanakan prinsip ini agar mereka dapat menjalani kehidupan yang aman, damai dan sejahtera.

“Rakyat sudah melihat di depan mata mereka betapa ada yang berdegar-degar berbicara soal integriti, amanah dan adil tetapi gagal melaksanakannya bahkan mengkhianati janji mereka sendiri kepada rakyat.

“Islam mengajar kita kepada lima perkara daruriyah yang harus ditunaikan dan dijaga oleh mereka yang diberikan amanah kepimpinan yakni menjaga agama, menjaga nyawa, menjaga harta, menjaga akal dan menjaga nasab serta keturunan.

“Prinsip ini hanya ada di dalam Islam dan PAS lah satu-satunya yang mampu melaksanakannya kerana perjuangan ini berteraskan kepada Islam itu sendiri,” katanya yang juga Ahli Parlimen Tangga Batu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN