GEORGE TOWN: Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengakui bahawa beliau masih belum sempat untuk menebus bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bernilai RM100 yang diberikan kerajaan.
Menurut Fahmi, walaupun belum berbuat demikian, namun beliau sudah merancang untuk menyumbangkan bantuan tersebut semula kepada rakyat di kawasan parlimennya iaitu Lembah Pantai.
“Saya belum lagi (tebus), belum sempat lagi. Tapi, insya-Allah saya akan sedekahkan. Kemungkinan besar (kepada penduduk) di kawasan Parlimen saya,” katanya di Bandar Baru Air Itam di sini, hari ini.
Fahmi ditemui pemberita selepas menyampaikan bantuan Tabung Kasih@HAWANA kepada wartawan akhbar berbahasa Cina, Kwong Wah Yit Poh iaitu Choo Kar Chun, 44, yang berdepan masalah kesihatan.
Kar Chun menjadi penerima ke-500 manfaat daripada Tabung Kasih@HAWANA sejak inisiatif itu diperkenalkan di bawah Kementerian Komunikasi dan dilaksanakan melalui Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).
Sebelum ini, Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mengajak wakil rakyat parti itu dan orang ramai yang berkemampuan untuk pass it forward atau memanjangkan bantuan SARA RM100 diterima mereka kepada golongan memerlukan.
Nurul Izzah menerusi satu hantaran di Facebook berkata, beliau dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang juga Ahli Parlimen Gombak sudah berpakat melaksanakan langkah itu pada Ahad.
SARA RM100 ialah bantuan tunai sekali bayar diberikan kepada semua rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas tanpa perlu membuat permohonan dan boleh digunakan di lebih 7,000 premis perniagaan berdaftar seluruh negara sehingga 31 Disember ini. – UTUSAN











