PETALING JAYA: Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) membuat laporan polis berhubung tuntutan Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) yang mahu kerajaan memansuhkan program matrikulasi.
Setiausaha Agungnya, Mohd. Wafiyuddin Al-Awal Musa berkata, ahli GPMS di seluruh negara sedang giat membuat laporan polis berhubung isu sama sebagai solidariti dan tanda bantahan.
Katanya, GPMS memandang serius kenyataan yang dikeluarkan Umany kerana ia bersifat provokatif, menggugat keharmonian negara dan menimbulkan keresahan awam serta institusi pendidikan.
“Kenyataan terbabit berpotensi melanggar peruntukan di bawah Seksyen 504 dan 505 Kanun Keseksaan serta Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.
“Tidak boleh hanya dengan mohon maaf sahaja, GPMS berpendirian bahawa tindakan undang-undang tetap wajar diambil bagi memastikan insiden seperti ini tidak sentiasa berulang pada masa akan datang.
“GPMS turut menggesa pihak Universiti Malaya untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap Umany agar institusi pengajian tinggi tidak dijadikan medan sempit oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini dilaporkan Presiden Umany, Tang Yi Ze menuntut supaya program matrikulasi dimansuhkan manakala Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dijadikan sebagai piawaian tunggal bagi kemasukan jurusan ijazah di universiti awam (UA).
Bagaimanapun, tuntutan itu mendapat bantahan pelbagai pihak, antaranya Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) yang mempertahankan program matrikulasi sebagai laluan penting ke pendidikan tinggi.
Menurut MPPK juga, pemansuhan program matrikulasi akan mengurangkan peluang akses pendidikan kepada sebahagian besar pelajar dan tidak mencerminkan kepentingan jangka panjang pembangunan pendidikan negara.
Naib Canselor UM, Prof. Datuk Seri Ir Dr Noor Azuan Abu Osman, pula menyifatkan tuntutan itu tidak mencerminkan pendirian rasmi universiti berkenaan.
Katanya, program matrikulasi negara adalah sistem pendidikan menyeluruh, yang terbukti berperanan dalam menyediakan akses kepada pendidikan tinggi kepada pelajar daripada pelbagai latar belakang. – UTUSAN









