Lebah kelulut sahabat Nik Zalina - Utusan Malaysia

Lebah kelulut sahabat Nik Zalina

Nik Zalina mengusahakan ternakan kelulut di kawasan lapang peninggalan ibu mertuanya, Sukinah Hasan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERMULA dengan hanya dua log atau koloni yang menjadi tempat pembiakan lebah kelulut untuk dijadikan sebagai hobi masa lapang beberapa tahun lalu, kini seorang wanita boleh berbangga dengan pencapaian diri sendiri dalam bidang tersebut.

Mana tidaknya, Nik Zalina Nik Mohamed, 44, yang memulakan perusahaan itu dengan dua log yang dihadiahkan suami, Jiman Hassan tidak menyangka dapat menambah kira-kira 218 log lagi untuk diusahakan secara serius di Kampung Parit Tengah, Merlong.

Pengalaman setiap hari bersama lebah-lebah kelulut telah memahirkannya untuk ‘memecahkan’ koloni yang dilihat sudah padat dengan lebah-lebah untuk dipindahkan ke log yang lain.

Wajah ayu anak kelahiran Tumpat, Kelantan itu ternyata bukan calang-calang wanita kerana setiap hari dia bermain dengan gigitan lebah kelulut di ladangnya dalam daerah Batu Pahat, Johor.

Namun, ia tidak sedikit pun menakutkan dirinya kerana sudah sebati dan menjadi sebahagian tugasnya untuk mengambil madu kelulut daripada koloni apabila telah sampai masanya untuk dituai.

Nik Zalina yang mengusahakan perniagaan diberi nama Wilalong Agro BFarm memberitahu, gigitan lebah kelulut bagaimanapun tidak seperti lebah biasa yang akan mendatangkan bisa kerana lebah itu hanya mengelilingi manusia apabila log dibuka bagi mengambil madunya.

“Kalau boleh cuba elakkan pakaian berwarna hitam kerana lebah kelulut ini gemar dengan warna tersebut, tetapi saya sudah lali dengan ‘kerumunan’ lebah-lebah ini termasuk di bahagian muka,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, Nik Zalina berbangga apabila Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar juga pernah berkenan mendapatkan bekalan madu kelulut asli dari Wilalong Agro BFarm.

‘Pakar’ dalam ternakan

Nik Zalina yang mengusahakan ternakan itu di kawasan lapang peninggalan ibu mertuanya, Sukinah Hasan berkata, menternak lebah kelulut tidak memerlukan kos penjagaan yang tinggi kerana pokok-pokok yang berada di sekeliling rumah merupakan sumber makanan yang baik bagi mengeluarkan madu kelulut apabila tiba masanya.

“Pokok-pokok seperti longan Brazil, duku, air mata pengantin, pokok akassia, pokok kuini selain bunga-bungaan membantu lebah kelulut yang keluar pada waktu pagi bagi mencari makanan sebelum pulang semula ke koloni masing-masing,” ujarnya.

Ujar Nik Zalina, selain mencari makanan di kawasan sekitar, lebah kelulut juga bebas keluar mencari sumber itu di kawasan lebih jauh iaitu sehingga satu kilometer dan pulang semula ke koloni tanpa sebarang masalah.

Jelas beliau, setiap koloni pula mampu menempatkan kira-kira 300 hingga 400 ekor lebah kelulut bergantung kepada keluasan yang dibuat bagi memudahkan kerja-kerja mengeluarkan madu.

“Satu peralatan khas direka bagi mengeluarkan madu-madu sebelum dibotolkan mengikut saiz tertentu dengan pengeluaran dalam sebulan dianggarkan sebanyak 20 kilogram atau lebih bergantung kepada keaktifan madu kelulut,” katanya.

Khasiat madu lebah kelulut

Menceritakan lebih lanjut, ujar wanita itu, madu kelulut memiliki pelbagai nama lain seperti madu meliponine, stingless bee honey (SBH) atau madu lebah tanpa sengat, pot-honey dan madu lebah Trigona.

“Madu jenis ini memiliki potensi besar untuk dikembangkan dalam keperluan perubatan moden.

“Komposisi madu kelulut terdiri daripada gula dalam bentuk fruktosa dan glukosa, asid organik, sebatian fenolik seperti asid fenolik dan flavonoid, asid amino, enzim, vitamin dan mineral,” jelasnya.

Kandungan polifenolik (antioksida) dalam madu kelulut kata Nik Zalinah juga, adalah 10 kali ganda lebih tinggi berbanding madu lebah biasa, selain ia amat berpotensi bagi mencegah penyakit-penyakit kronik.

“Khasiat sebagaimana kajian yang dilakukan adalah penyembuh luka semula jadi serta baik untuk merawat penyakit kencing manis, sakit mata, bersifat anti kanser dan baik untuk kesuburan selain berupaya mengurangkan berat badan.

“Selain itu, khasiat madu kelulut ini juga diyakini boleh mencegah jangkitan bakteria, menjadi pelembap semula jadi dan baik untuk kecerdasan otak,” kata Zalina yang dibesarkan di Bentong sebelum berhijrah mengikut suami ke Johor.

Perlu berhati-hati elak ratu dan tentera merajuk

Dalam setiap koloni atau log ujar Nik Zalina, ia akan didiami oleh ratu, askar, pengawal serta lebah-lebah kelulut yang ditugaskan untuk mengeluarkan madu serta menunjukkan ‘disiplin’ yang tinggi.

Katanya, pengalaman setiap hari bersama lebah-lebah kelulut telah memahirkannya untuk ‘memecahkan’ koloni yang dilihat sudah padat dengan lebah-lebah untuk dipindahkan ke log yang lain.

Menurut Nik Zalina, kerja-kerja tersebut perlu dilakukan dengan berhati-hati bagi mengelakkan ratu atau tenteranya ‘merajuk’ yang menyebabkan usaha bagi memindahkannya tidak berjaya jika kurang berpengalaman.

“Setakat ini saya telah berjaya memecahkan 20 koloni untuk dipindah kepada koloni yang baru,” jelasnya yang turut menghadiri pelbagai kursus anjuran Pejabat Pertanian, Pejabat Daerah, Pejabat Peladang dan agensi-agensi lain.

Katanya lagi, selain pembacaan di media, beliau juga mengadakan lawatan ke lokasi ternakan madu kelulut yang lain bagi menimba pengalaman berkaitan ternakan lebah kelulut yang memerlukan minat dan kesungguhan yang tinggi.

“Ini termasuklah mengenal pasti musuh-musuh seperti cicak, semut, katak dan burung layang-layang atau walit yang boleh menyebabkan kerosakan pada koloni sekaligus menjejaskan penghasilan madu kelulut,” jelasnya.

Bagi mengelak serangan musuh-musuh terbabit, ujar Nik Zalina, koloni perlu dibina pada kedudukan lebih tinggi yang antara lain akan memudahkan kerja-kerja mengambil madu kelulut menggunakan sebuah mesin direka khas.

Selain itu, semburan racun yang tidak teratur mengikut waktu boleh menyebabkan lebah kelulut keluar dari tempatnya serta boleh menjejaskan kehidupannya dan kualiti madu yang dihasilkan.

Nik Zalina yang dibantu seorang pekerja menambah, sarang lebah kelulut yang biasanya dalam tunggul kayu hutan kini boleh dipelbagaikan kepada peti harta karun, beg lama, pasu bunga dan peralatan-peralatan lain.

Pasaran madu kelulut memberangsangkan

Ditanya mengenai pasaran madu kelulut, Nik Zalina memberitahu, bukan sahaja penduduk kampung yang datang ke tempatnya untuk membeli madu, bahkan masyarakat luar yang mengetahui kewujudan jualan madu kelulut di situ sering memenuhi Kampung Parit Tengah.

“Selain itu saya mengadakan kerjasama dengan agensi pelancongan di Johor Bahru yang membawa pelancong ke sini pada setiap hujung minggu bagi sama-sama melihat dengan lebih dekat madu kelulut dan merasai sendiri keasliannya,” tambahnya.

Dengan menggunakan jenama Sukinah Hasan sempena nama ibu mertuanya, madu kelulut keluaran Wilalong Agro BFarm dijual dengan harga RM70 hingga RM80 sebotol.

Katanya, secara purata setiap koloni yang berharga antara RM450 hingga RM600 sebuah mampu menerima hasil sehingga RM1,200 bergantung kepada gred madu kelulut yang ditentukan.

Walaupun belum pernah menerima apa-apa anugerah dari mana-mana pihak, namun kehadiran pelancong dan pelbagai jabatan dan agensi selain lawatan daripada Menteri dan Timbalan Menteri sebelum ini secara tidak langsung telah memperkukuh madu keluaran dari Wilalong Agro BFarm.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×