PETALING JAYA: Kedutaan Palestin ke Malaysia bersyukur selepas 142 buah negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyokong Deklarasi New York mengenai penyelesaian aman isu Palestin dan pelaksanaan penyelesaian dua negara.
Resolusi itu diluluskan pada 12 September lalu pada Sesi ke-80 Perhimpunan Agung PBB, sebagai isyarat sokongan global menamatkan pendudukan Israel dan merealisasikan penubuhan negara Palestin merdeka dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.
Dalam kenyataannya, kedutaan itu merakamkan penghargaan kepada Arab Saudi, Perancis serta 17 pengerusi bersama kumpulan kerja Persidangan Antarabangsa Peringkat Tinggi pada Julai lalu kerana memimpin usaha merangka dan mempromosikan deklarasi bersejarah itu.
Bagaimanapun, katanya, masih terdapat negara anggota PBB yang belum mengiktiraf Palestin secara rasmi.
Sehubungan itu, pihaknya mengharapkan negara terbabit mempertimbangkan semula pendirian demi prinsip keadilan dan kestabilan serantau.
“Pengiktirafan penuh terhadap hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri dan memiliki sebuah negara merdeka adalah satu-satunya jalan bagi menjamin keamanan yang berkekalan,” kata kenyataan itu.
Kedutaan Palestin di Malaysia juga menggesa semua negara anggota PBB melaksanakan hasil Deklarasi New York, termasuk menekan Israel selaku kuasa pendudukan agar menghentikan kekerasan, menamatkan penjajahan dan mematuhi undang-undang antarabangsa. – UTUSAN










