BUKIT MERTAJAM: Usaha untuk menaik taraf Hospital Bukit Mertajam (HBM) yang berusia 135 tahun kini berada di peringkat penilaian reka bentuk oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, usaha tersebut melibatkan kajian terperinci dari segi reka bentuk, blok perkhidmatan serta jumlah perbelanjaan yang diperlukan sebelum keputusan dimuktamadkan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata, hospital itu kini mempunyai kira-kira 242 katil, namun, perancangan baharu disasarkan untuk menggandakan kapasiti bagi menampung jumlah pesakit yang semakin meningkat.
“Rancangannya ialah, hospital yang kini mempunyai 242 katil akan ditambah sekurang-kurangnya sekali ganda. Langkah ini akan memberi perkhidmatan lebih selesa kepada penduduk Bukit Mertajam dan kawasan sekitarnya, selain suasana kerja lebih baik kepada pegawai perubatan serta jururawat,” katanya selepas menghadiri perasmian prasarana mesra OKU dan Komuniti Hospital Bukit Mertajam di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Steven memberitahu, kerajaan negeri Pulau Pinang juga telah bersetuju untuk menyerahkan tanah di Bukit Mertajam Rest House seluas kira-kira lapan ekar untuk kegunaan hospital sekiranya ia sesuai bagi tujuan pembangunan tambahan.
Jelasnya, lokasi tanah tersebut yang terletak berhadapan dengan hospital sedia ada dilihat mampu menyokong cadangan pembinaan blok baharu sebagai sayap tambahan kepada fasiliti sedia ada.
Steven berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad minggu depan bagi mempercepatkan proses perancangan termasuk reka bentuk dan penilaian kos, supaya manfaatnya dapat dinikmati masyarakat dengan segera.
“Dengan kerjasama baik antara kerajaan negeri, KKM dan pengurusan hospital, saya yakin kita akan mencapai satu lagi pencapaian bersejarah bagi Hospital Bukit Mertajam,” katanya.
Sementara itu, Steven berkata, Hospital Bukit Mertajam baru-baru ini diumumkan sebagai Hospital Paling Lestari di ASEAN selepas berjaya mengurangkan penggunaan tenaga hampir 11 peratus, bersamaan penanaman 4,000 pokok, selain penjimatan kos RM250,000 setahun.
“Ini bukti bahawa walaupun sebuah hospital lama berusia 135 tahun, ia tetap mampu menerapkan unsur kelestarian dan teknologi hijau yang memberi manfaat besar kepada pesakit dan negara,” katanya.
Sementara itu, dalam lawatan yang sama, Steven turut meninjau kemudahan mesin mesin scan tomografi komputer (CT Scan) bernilai RM5 juta yang mula beroperasi sejak tahun lalu dan telah memberi manfaat kepada lebih 6,500 pesakit.
“Jika sebelum ini pesakit perlu dipindahkan ke Hospital Seberang Jaya atau Hospital Pulau Pinang, kini rawatan boleh diperoleh terus di sini. Ini menjimatkan kos, tenaga kerja dan paling penting mempercepatkan proses diagnosis,” ujarnya. – UTUSAN










