KUALA TERENGGANU: Seorang mudir sebuah pondok di Tumpat, Kelantan yang dikenali sebagai Abuya sekali lagi direman selepas dipercayai melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar tahfiz di Batu Rakit, di sini, tujuh bulan lalu.
Suspek berusia 46 tahun itu ditahan ketika berada di pekarangan sebuah madrasah di Wakaf Bharu, Tumpat pada pukul 7.30 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, siasatan awal mendapati suspek disyaki mencabul seorang remaja lelaki berusia 14 tahun dalam sebuah pondok di Batu Rakit pada pukul 9 malam, Februari lalu.
“Semakan juga mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes seksual luar tabii dan penganiayaan terhadap kanak-kanak. Dia kini direman selama lima hari sehingga Khamis bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Azli, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Pada 11 September lalu, media melaporkan lelaki sama dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Pasir Mas atas tujuh pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap beberapa pelajar lelaki selain memiliki gambar lucah antara Jun 2024 hingga 20 Ogos lalu.
Bagaimanapun, suspek membuat pengakuan tidak bersalah terhadap semua pertuduhan tersebut. – UTUSAN










