Di negara ini, selain para dermawan banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan swasta menyalurkan bantuan kepada insan yang memerlukan. Ia sama ada menerusi program tanggungjawab sosial tertentu termasuk ‘ziarah mahabah’ yang kerap dilakukan pada Ramadan.
Sifat orang mukmin yang bertakwa sewajarnya mengutamakan kebajikan mereka yang memerlukan supaya jaminan mengurangkan bebanan kehidupan dan kembali ceria seperti insan lain khususnya Ramadan lalu malah menyambut Hari Raya Aidilfitri, baru-baru ini.
Ini bertepatan dengan firman Allah SWT bermaksud: ‘Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah maha berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).’ (al-Maidah: 2)
Masjid juga merupakan institusi yang lebih dekat dengan masyarakat dan saluran terbaik kalangan mereka yang dikategorikan asnaf dan perlukan bantuan serta pertolongan.
Masjid Tengku Mahkota Abdullah Jerantut (MTMAJ) adalah antara yang boleh diteladani di bandar Jerantut, Pahang. Ia sentiasa merencana bantuan untuk golongan tersebut malahan lebih proaktif melaksanakan program infak dan ziarah sepanjang Ramadan lalu.
Imam Satu MTMAJ, Mohd Fikri Hamzah, 34, berkata, pihak pengurusan bukan sahaja memfokuskan aktiviti ibadat seperti solat dan majlis keilmuan, tetapi menjengah ke luar dan mengambil tahu masalah kebajikan dan kesusahan penduduk yang memerlukan.
“Atas rasa penuh keinsafan dan nilai prihatin, MTMAJ menubuhkan Biro Cakna bagi tugas membantu asnaf, orang kurang upaya (OKU), pesakit kronik, mereka yang ditimpa musibah, frontliners, saudara baharu serta para musafir termasuklah pelajar tahfiz di madrasah dalam daerah ini.
“Penubuhan biro ini merupakan dorongan yang kuat daripada Kadi Daerah Jerantut, Pegawai Daerah Jerantut, Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris dan institusi seperti Majlis Ugama Islam Pahang (Muip) yang menyumbangkan dana bagi melancarkan bantuan infak menerusi Biro Cakna masjid ini,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Menurut Mohd Fikri, beliau serta pihak pengurusan MTMAJ amat bersyukur kerana tidak putus-putus menerima sumbangan selain kewangan, barang keperluan dapur juga daripada individu tertentu yang sangat prihatin dan bersimpati dengan penduduk yang memerlukan.
Katanya, setiap usaha kebajikan serta amal jariah berkenaan selari dengan firman Allah SWT yang bermaksud: Perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah seperti sebutir biji yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai ada seratus biji. Allah melipatgandakan bagi siapa yang Dia kehendaki dan Allah Maha Luas, Maha Mengetahui’. (al-Baqarah: 261)
Bagi Pengerusi Biro Cakna MTMAJ, Ikhtiman Ismail, 67, pula berkata, bantuan atau infak wang tunai dan barang keperluan dapur dihantar terus kepada penerima yang dikenalpasti menerusi maklumat daripada ahli kariah setempat, ketua kampung dan pihak tertentu.
“Imam MTMAJ bersama jawatankuasa Biro Cakna berziarah ke rumah penduduk asnaf dan mereka yang memerlukan dengan menyampaikan bantuan tersebut di samping bertanyakan khabar dan memberikan kata semangat.
“Sepanjang Ramadan ini dan menjelang Aidilfitri, jawatankuasa Biro Cakna bersama ahli kariah MTMAJ paling sibuk menguruskan bantuan kepada golongan tersebut lebih lagi ada juga penduduk yang kehilangan pendapatan akibat penularan wabak Covid-19,” katanya.
Kata Ikhtiman, ada golongan asnaf yang menerima bantuan bulanan dari Biro Cakna termasuk dalam kalangan penduduk miskin yang datang ke MTMAJ memohon bantuan apabila kekurangan wang belanja dan terputus barang keperluan dapur.
Mengulas lanjut peranan Biro Cakna MTMAJ, Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, tugas membantu asnaf dan mereka yang memerlukan adalah tanggungjawab bersama kalangan ahli kariah setempat supaya nasib serta kebajikan pihak berkenaan terbela.
“Sebenarnya antara lain ibadat berpuasa untuk mendidik sekalian umat Islam supaya turut merasai denyut nadi penderitaan orang miskin.
“Oleh itu bersedekahlah atau infak sekadar termampu agar keikhlasan kita diampuni Allah segala dosa seperti maksud hadis yang diriwayatkan oleh Tirmidzi dan Ibnu Majah, ‘Sedekah itu memadamkan dosa sebagaimana api dapat dipadamkan dengan air, begitu pula solat seseorang selepas tengah malam,” katanya.
Seorang penerima bantuan Kampung Lada, Siti Norhanasuha Mat Isa, 28, berkata, dia amat bersyukur kerana memperoleh bantuan barang keperluan dapur daripada MTMAJ yang mampu meringankan beban belanja kerana tidak mempunyai pekerjaan tetap.
“Mana mampu berbelanja kerana saya hanya menerima upah kecil hasil kerja kampung malahan perlu berjimat untuk merawat anak lelaki saya, Aqeef Hannan, 12, yang mengalami penyakit buncit di bahagian perut.
“Tugas amal jariah oleh Biro Cakna MTMAJ, pemimpin setempat dan para dermawan mampu memberi keselesaan dan keceriaan penduduk miskin dan mereka yang memerlukan lebih-lebih lagi dengan kedatangan Hari Raya Aidilfitri,” ujarnya.










