Suara dari Palekbang

Suara dari Palekbang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sungai Kelantan petang itu beralun perlahan, seakan-akan membaca doa penutup hari. Dari pangkin rumah kayunya di Palekbang, Cikgu Hamid duduk termenung.

Angin membawa bau lumpur bercampur masin laut dari muara. Di pangkuannya, terbuka sebuah buku catatan lusuh milik ayahnya, Cikgu Salleh, seorang guru sejarah yang pernah disegani di Tumpat.

Jari tuanya berhenti pada helaian bertarikh keramat, ditulis dengan dakwat hitam yang sudah pudar:

16 September 1963

“Hari ini Malaysia lahir. Suasana Palekbang dan Kota Bharu bergema dengan sorak. Di White House, guru-guru, pembesar negeri, ulama, pegawai kerajaan dan rakyat jelata duduk rapat mendengar pengumuman dari radio. Hati berdebar, mata berkaca. Sejarah tercipta.”

Air mata Hamid bergenang. Ingatan itu menyeretnya jauh ke zaman kecil, ke hari yang melahirkan sebuah bangsa.

Pagi 16 September 1963, Stesen Kereta Api Palekbang bagaikan jantung negeri yang berdenyut kencang.

Wisel panjang melengking, “Tiiiiitttt!”, menggegarkan udara.

Asap hitam membubung ke langit, roda besi bergemuruh bagaikan gendang perang.

Gerabak dari Kuala Krai tiba, penuh dengan hasil bumi.

Bau getah keping yang dijemur semalam bercampur dengan getah scrap yang dikutip dari mangkuk toreh.

Ada kelapa muda, rotan panjang, damar, buluh, serta hasil hutan dari pedalaman.

Di ruang menunggu, suasana hiruk-pikuk. Petani dan peniaga membawa tempayan budu dari Pasir Mas dan Pengkalan Kubur, ditutup dengan daun pisang.

Ada juga yang menjinjing ikan sepat salai, ikan puyu kering, serta hasil kebun. Pisang tanduk dipikul, keladi, umbut kelapa, nangka besar dijunjung.

Ada yang bawa petai sangkut di kandaran.

Ayam kampung berkokok dari dalam raga, kanak-kanak berlari sambil ketawa, sementara wanita tua menjerit menjual kuih.

Hamid menarik lengan ayahnya.

“Ayah, ramainya orang hari ini. Mengapa semua bawa macam-macam barang?”

Cikgu Salleh tersenyum.

“Hari ini bukan hari biasa, Hamid. Mereka bukan sekadar datang untuk jual barang.Mereka juga mahu menjadi saksi sejarah.

“Malaysia akan lahir, kita mesti hadir bersama.”

Hamid mengangguk, masih tidak benar-benar faham, tetapi hatinya berdebar.

Dari parker motosikal Stesen Kereta api Palekbang, mereka berjalan ke pengkalan.

Di situlah menunggu Feri Belangkas, feri dua tingkat dengan roda gergasi.

Tubuh besinya mengaum, seolah-olah seekor belangkas raksasa menanti mengangkut manusia.

Hamid ternganga. “Ayah, besar betul feri ini.”

Ayahnya tersenyum kecil. “Inilah raksasa sungai kita, Hamid. Ia mengangkut manusia, basikal, ayam, tempayan budu… semuanya sekali. Tanpa feri ini, susah orang hendak ke bandar.”

Mereka melangkah ke dek. Di bawah, guni getah bertimbun, ayam kampung berkokok, tempayan budu berderet.

Di atas, orang ramai berasak-asak, wajah mereka tegang tetapi penuh harapan.

“Pegang kuat, Hamid. Jangan lepaskan tangan ayah. Sungai ini deras, tetapi feri ini kuat. Ia akan membawa kita melihat sejarah.”

Roda besi berpusing, air berpusar ganas. Angin menampar wajah Hamid, dan sungai itu seakan berbisik: “Hari ini aku saksi kepada kelahiran sebuah bangsa.”

Setibanya di Pengkalan Feri Stesen Kereta Api, kini Tambatan Diraja. Berpusu-pusu orang ramai mendaki tebing sungai ke Kota Bharu yang kini dikenali Kota Lama.

Cikgu Salleh membawa anaknya ke Kedai Kopi White House, tempat terkenal yang sering dikunjungi guru, pegawai kerajaan, pembesar negeri dan ulama.

Hari itu, White House sesak luar biasa.

Guru-guru English School duduk bersebelahan pegawai daerah.

Ulama bersongkok putih mengusap tasbih. Pembesar negeri meneguk kopi pekat, manakala petani dan nelayan berdiri di pintu.

Hamid berbisik.

“Ayah, apa yang kita tunggu di sini?”

“Senyap dulu, Hamid. Kita akan mendengar suara sejarah.”

Di tengah kedai, sebuah radio besar diletakkan di atas meja.

Antenanya menjulang, bunyi desisnya memecah sunyi.

Seorang guru berkata perlahan, “Salleh, ada orang kampung masih ragu. Mereka kata Sabah dan Sarawak terlalu jauh. Singapura pula lebih maju. Mampukah kita bersatu?”

Cikgu Salleh menjawab, “Kita tidak boleh mundur. Kalau tidak bersatu, negeri-negeri ini akan lemah. Malaysia ini payah, tetapi ini masa depan.”

Seorang ulama menyampuk: “Bahasa dan agama jangan sekali-kali dilepaskan. Malaysia adalah amanah Allah.”

Hamid kecil memandang sekeliling.

Dia tidak faham semua kata, tetapi dapat merasakan sesuatu yang besar bakal berlaku.

Tiba-tiba, suara pemimpin negara bergema dari radio:

“Dengan izin Allah, pada hari ini, 16 September 1963, Persekutuan Malaysia diisytiharkan terbentuk. Negeri-negeri Persekutuan Tanah Melayu kini bersatu dengan Sabah, Sarawak dan Singapura, membentuk sebuah negara berdaulat bernama MALAYSIA.”

Sejenak, White House kaku. Masa seolah berhenti.

Kemudian, kedai itu bergema.

“Allahu Akbar!”

“Merdeka!”

“Malaysia!”

Ulama menadah tangan berdoa.

Guru menangis memeluk petani.

Pegawai daerah menekup muka, pembesar negeri bangun mengangkat tangan.

Cikgu Salleh memegang bahu anaknya.

“Hamid, lihatlah. Inilah hari lahir bangsamu. Suara ini bukan sekadar dari radio, tetapi suara darah dan jiwa kita.”

Hamid terdiam. Baginya, White House bukan lagi kedai kopi, tetapi rahim sejarah yang melahirkan sebuah bangsa.

Tahun berganti. Jambatan Sultan Yahya Petra, dibina 1963, siap 1965, mula digunakan 1966. Ia merentang megah dari Pasir Pekan ke Kampung Sireh.

Feri Belangkas hilang perlahan-lahan, stesen Palekbang yang dulunya sibuk kini hanya tinggal tugu sepi.

Namun Hamid tahu, Palekbang pernah gemilang.

Pada tahun 1907, W.A. Graham mencatat bahawa hasil dagangan Kelantan melebihi 2.5 juta dolar Amerika.

Ketika itu, getah keping dari Ladang Duff dihantar dengan kapal stim, manakala bijih besi dari Temangan diangkut dengan kereta api ke Pelabuhan Tanjung Duff di Tumpat.

Namun, semua kegemilangan itu musnah dalam Perang Dunia Kedua, meninggalkan hanya nama dalam catatan sejarah.

“Atuk! Jom kita jalan-jalan ke Kota Bharu,” panggilan Afiq mengejutkan lamunannya.

Afiq, satu-satunya cucu yang tinggal bersama, memimpin Hamid menuju ke SUV X70 merah.

Hamid melangkah masuk dengan semangat yang masih segar di jiwanya.

Tengah hari itu, Afiq membawa Hamid singgah makan di Kedai Makan Pok Hok.

Hamid termenung sebentar, terkenang Pengkalan Pok Hok di Pasir Pekan.

Dahulu, ia laluan orang kampung berperahu ke Kota Bharu, yang kini dikenali sebagai Kota Lama.

Kini pengkalan itu hanya digunakan oleh segelintir pemancing atau kumpulan kecil yang menuju ke pulau-pulau di Tumpat.

Pok Hok, orang lama Pasir Pekan yang pernah mengusahakan kedai makan tersebut, telah meninggal dunia lima bulan lalu.

Namun, namanya tetap hidup. Dikenang penduduk dan pelancong.

Kedai makan yang kini diwarisi generasi baharu masih tersohor dengan gulai kawah, gulai ayam kampung, dan gulai kambing yang menjadi sebutan ramai.

Sambil menggaul nasi bersama gulai kerutuk Serati, Hamid menyuap perlahan-lahan.

Pandangannya melangkau sungai, menatap bangunan yang berdiri megah di seberang. Hotel Grand Riverview, Ridel Hotel, Apartment Pelangi, dan Menara Tinjau Tambatan Diraja.

Semua itu letaknya setentang dengan Kedai Makan Pok Hok di Pasir Pekan Hilir.

Indah nian pemandangan itu, namun Hamid terasa ketenangan semakin sukar dicari.

Jalan raya sibuk dengan kenderaan bertali arus seperti ular besi yang tidak pernah letih.

Selesai makan tengah hari, Afiq memandu membawa Hamid menyeberangi Jambatan Sultan Yahya Petra. Hamid memandang keluar tingkap.

Sungai di bawah tetap tenang, tetapi di atasnya kenderaan berbaris panjang, deru enjin bersahut-sahutan.

Matanya berkaca apabila melihat di kiri dan kanan jambatan, bendera Malaysia dan bendera Kelantan masih berkibar, basah oleh hujan semalam.

Sisa sambutan Hari Kebangsaan 31 Ogos masih terasa hangat.

Air matanya menitis.
“Afiq, dulu Tok mendengar Malaysia lahir dari radio di White House.

“Hari ini Tok melihat Malaysia masih gagah berkibar di angin sungai. Walau jalan raya sibuk, walau tenang sukar dicari, kita tetap aman dan damai.”

Afiq mengangguk, sambil tersenyum.

“Tok, sungai ini tetap sama. Cara kita menyeberang sahaja yang berubah. Dari kereta api, ke Feri Belangkas, ke jambatan.

“Nanti akan siap jambatan baharu menghubungkan tebing sungai Palekbang dan Kampung Laut ke tebing Penambang dan terus ke Tanjung Chat, Taman Uda Murni hingga ke Lapangan

Terbang Antarabangsa Sultan Ismail Petra.

“Selagi bendera ini berkibar, Malaysia tetap teguh.”

Hamid menepuk bahu cucunya perlahan.

“Ya, Afiq. Setiap keping getah, setiap tempayan budu, setiap roda feri, setiap besi jambatan adalah doa rakyat.

“Jangan sekali-kali biarkan suara White House padam, kerana di situlah kita mula mendengar suara Malaysia.”

SUV itu meluncur meninggalkan Sungai Kelantan di belakang.

Namun di hati Hamid, bunyi wisel kereta api, roda besar Feri Belangkas, sorakan rakyat di White House, dan kibaran bendera Malaysia berpadu menjadi lagu abadi.

Suara dari Palekbang, suara sungai, suara rakyat, suara bangsa yang lahir pada 16 September 1963, terus bernafas dalam aman dan damai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×