PETALING JAYA: Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mengumpul dan menyalurkan maklumat perisikan mengenai kehadiran operatif Al-Qaeda di Malaysia sejak Disember 1999 iaitu 22 bulan sebelum tragedi berdarah 11 September 2001 ke atas Amerika Syarikat (AS).
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tarikh 11 September akan terus dikenang dalam sejarah sebagai serangan pengganas paling besar pernah dilancarkan ke atas AS.
Bahkan, katanya, semua agensi keselamatan dan perisikan bukan sahaja di AS malah di seluruh dunia tergamam dengan impak, perancangan teliti, komitmen dan keberanian Kumpulan Al-Qaeda yang mendalangi serangan tersebut.
Namun, katanya apa yang tidak diketahui umum di peringkat antarabangsa mahupun di Malaysia adalah penglibatan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas PDRM dalam mengumpul maklumat perisikan awal mengenai kehadiran operatif-operatif Al-Qaeda di Malaysia pada Disember 1999.
Berkongsikan penglibatannya dalam mengumpul maklumat risikan kehadiran anggota kanan Al-Qaeda di Malaysia iaitu Khalid Al-Mihdhar, Ayob Khan berkata, ketika itu Cawangan Khas diterajui oleh Datuk Yusof Rahaman yang merupakan salah seorang Pengarah dihormati dan disegani.
“Salah satu inteligen (maklumat) yang diperoleh adalah dari agensi perisikan Amerika Syarikat pada akhir Disember 1999 iaitu mengenai kehadiran anasir-anasir Al-Qaeda di Kuala Lumpur. Inteligen tersebut tidak mendedahkan tujuan dan perancangan operatif tersebut di Malaysia.
“Pada 4 Januari 2000 agensi perisikan Amerika Syarikat telah menyalurkan maklumat tambahan yang lebih terperinci mengenai penerbangan, butir-butir peribadi, dan gambar Khalid Al-Mihdhar (KAM) anggota kanan Al-Qaeda yang akan memasuki Malaysia melalui KLIA,” katanya di Facebook miliknya semalam.
Ayob Khan berkata, beliau dan dua lagi pegawai iaitu Inspektor Mohd. Raby dan Inspektor Ooi Yuet Kueh bergerak ke KLIA pada hari dimaklumkan untuk memantau dan mengesahkan kehadiran lelaki tersebut.
Katanya, selepas mengesahkan kehadiran individu tersebut, beliau tak menyangka bahawa itulah suspek yang kemudiannya bersama empat lagi anggota Al-Qaeda terlibat dalam merampas dan merempuh Bangunan Pentagon pada 11 September 2001 sehingga mengorbankan banyak nyawa.
“Pengintipan yang dilancarkan ke atas KAM sepanjang berada di sekitar Bukit Bintang Kuala Lumpur dan Bandar Sungai Long Kajang, Selangor telah berjaya mengesan dan mengenalpasti lain-lain operatif Al-Qaeda yang memasuki Malaysia lebih awal. Mereka adalah Nawaf Al-Hazmi, Salah Saed @ Khallad Attash dan Ramzi Bin Al-Shibh.
“Khallad Attash adalah salah seorang anggota Al-Qaeda yang terlibat dalam serangan ke atas Kedutaan Amerika Syarikat di Tanzania dan Kenya pada 7 Ogos 1998 dan cubaan serangan ke atas USS The Sullivans di Aden, Yemen pada 3 Januari 2000 tetapi gagal kerana bot yang membawa bahan letupan tenggelam.
“Pada 12 Oktober 2000 iaitu selepas 11 bulan kehadirannya di Malaysia, Khallad Attash berjaya menyelaras operasi serangan berani mati ke atas USS Cole di Aden, Yaman,” katanya.
Beliau berkata, keempat-empat suspek berada di Malaysia dari 4 hingga 8 Januari 2000 merupakan operatif yang terlatih kerana tidak pernah menggunakan telefon di bilik hotel atau rumah penginapan untuk membuat panggilan.
Sebaliknya, katanya, mereka menggunakan telefon awam dan internet café di kawasan Bukit Bintang.
“Salah satu telefon awam yang sering digunakan oleh mereka adalah di hadapan Menara Maybank Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur.
“Kami berjaya mendapatkan ‘toll records’ panggilan-panggilan yang dibuat di “public phone” tersebut dan dikongsi dengan perisikan Amerika Syarikat.
“Nombor antarabangsa yang dihubungi termasuk beberapa negara Timur Tengah, antaranya yang mempunyai hubungan dengan operatif-operatif kanan Al-Qaeda,” katanya.
Beliau berkata, salah satu nombor antarabangsa tersebut berasal dari Yaman milik Ahmad Al-Hada iaitu bapa mertua KAM.
Katanya, nombor telefon sama pernah dikesan mempunyai hubungan dengan sel Al-Qaeda yang telibat dalam serangan Kedutaan Amerika Syarikat di Tanzania dan Kenya pada 7 Ogos 1998.
“Apabila KAM, Khallad Attash dan Nawaz Al Hazim berlepas ke Bangkok pada 9 Jan 2000, semua maklumat mengenai penerbangan, pasport dan nombor-nombor panggilan antarabangsa yang mereka hubungi melalui “public phone” di kongsi dengan agensi perisikan Amerika Syarikat.
“Tetapi agensi perisikan Amerika Syarikat berkenaan tidak menyalurkan semua maklumat itu dengan Federal Bureau of Investigation (FBI).
“Semua kelemahan dalam perkongsian inteligen di antara agensi perisikan Amerika Syarikat dengan FBI dinyatakan dengan jelas dalam 911 Commission Report.
“Ada dua buku, The Looming Tower oleh Lawrence Wright dan The Black Banners oleh Ali Soufan (bekas ejen FBI yang terlibat dalam siasatan ke atas serangan USS Cole dan 911) yang menceritakan dengan jelas kerjasama Cawangan Khas PDRM dalam perkongsian inteligen mengenai operatif-operatif Al-Qaeda yang terlibat dalam serangan 911,” katanya.
Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, ketika itu beliau merupakan pegawai penyiasat siasatan ke atas KAM dan lain-lain operatif Al-Qaeda di Malaysia.
Katanya, Cawangan Khas merupakan agensi perisikan pertama yang berjaya membongkar sel-sel kumpulan Jemaah Islamiah (JI) yang beroperasi di Malaysia, Indonesia, Singapura, Filipina, Australia dan Thailand.
Malah, katanya, kejayaan itu mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
“Meneruskan pemantauan ke atas Yazid Sufaat dan lain-lain anggota JI yang dikesan mempunyai hubungan dengan anggota Al-Qaeda tersebut.
“Satu laporan lengkap dihantar kepada Penolong Pengarah Bahagian Inteligen Luar Cawangan Khas untuk terus memantau rakyat Malaysia tersebut.
“Daripada pemantauan berterusan tersebutlah kami dapat mengesan kewujudan kumpulan JI dan melancarkan operasi besar-besaran pada 11 Disember 2001,” katanya.










