Islam dan kupasan Covid-19 - Utusan Malaysia

Islam dan kupasan Covid-19

Naskhah membincangkan wabak Covid-19 daripada perspektif Islam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sebagai sebuah organisasi pemikir, Institut Kefahaman Islam (IKIM) memainkan peranan menjelaskan isu-isu wabak Covid-19 dari perspektif Islam.

Sepanjang tempoh perintah Kawalan Pergerakan (PKP), IKIM telah memainkan peranannya sebagai sebuah gedung ilmu kefahaman Islam, melalui pelbagai program di Radio IKIM, TV IKIM serta penulisan di akhbar tempatan.

Ilmu pengetahuan dan fakta disampaikan berkisar mengenai pandemik Covid-19 adalah daripada sudut pemikiran Islam, sains Islam, prinsip kesihatan, kekeluargaan, syariat dan perundangan serta kerohanian.

Bertitik tolak untuk melengkapkan peranan IKIM dalam bidang penulisan, penerbitan buku Islam & Wabak Pengajaran Daripada Covid-19, menyajikan artikel terpilih untuk siaran akhbar tempatan yang merupakan salah satu medium IKIM menyalurkan kefahaman isu-isu wabak Covid-19 daripada perspektif Islam kepada masyarakat.

Seramai 13 penyumbang artikel mengikut kepakaran masing-masing. Antaranya pegawai penyelidikan, felo dan pengarah Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan (EMAS), Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar (KIAS) dan Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik (SYARAK).

Ia kemudiannya disusun kemas oleh Mohamad A’sim Ismail. Ia membahaskan tiga tema utama iaitu kerangka ilmu kerohanian dan anjakan pemikiran, norma baharu menepati agama, masalah alam sekitar dan pemakanan.

Dalam artikel Covid-19 Ubah Gaya Hidup, tulisan Khairul Azhar Idris, beliau menyatakan penjarakan sosial perlu menjadi amalan dalam membendung wabak. Malah hujahnya, sekatan dan penjarakan sosial ini pernah wujud seperti dalam sebuah hadis Rasulullah SAW ketika memerihalkan suasana serangan wabak taun.

Topik PKP Dedah Masalah Literasi Kewangan nukilan Muhammad Hisyam Mohamad turut menyeru masyarakat supaya sedar tentang literasi kewangan yang ada kaitan dengan aspek mencapai matlamat Syariah yang digariskan dalam Islam.

“Tanpa kekuatan ekonomi dan sumber kewangan mencukupi, urusan meninggikan syiar Islam, memperkasa akal, menjaga jiwa dan keturunan adalah sukar untuk dilaksanakan. Oleh itu, perlu ada usaha daripada pelbagai pihak bagi meningkatkan tahap literasi kewangan dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia,” tulisnya.

Kedaulatan Makanan Negara Semasa Wabak oleh Norkumala Awang menceritakan impak ketidakcukupan makanan boleh menggugat keimanan. Manusia sanggup melakukan apa sahaja bagi memenuhi keperluannya walaupun dilarang agama.

“Semua pihak termasuk anggota masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing termasuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP). Dengan mengharmonikan ilmu aqli dan naqli daripada perspektif Islam dalam pematuhan kepada langkah-langkah pencegahan wabak Covid-19 akhirnya akan menjadi ibadat kepada umat,” tulisnya.

Nakhah ini turut dihasilkan dalam bahasa Inggeris dengan tajuk Islam & Pandemics Lesson From Covid-19.

ISLAM & WABAK PENGAJARAN DARIPADA COVID-19:
Penyunting: Mohamad A’sim Ismail

Cetakan pertama : 2020

Penerbit: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Pencetak: Percetakan Asia Print Sdn. Bhd

Muka surat: 86

Ulasan: RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×