PETALING JAYA : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyalurkan maklumat penting kepada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) bagi memperkukuh pelaksanaan Op Rentas, khususnya dalam membanteras masalah integriti dan salah guna kuasa pegawai kerajaan.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, maklumat itu meliputi modus operandi sindiket, profiling pegawai berisiko, kelemahan prosedur serta tatakelola kemasukan warga asing.
Beliau menegaskan, kes pegawai kerajaan yang curang masih berterusan biarpun pelbagai tindakan dilakukan SPRM bersama agensi penguat kuasa lain.
“Op Rentas membongkar kesalahan ‘counter setting’ terbaru membabitkan ramai pegawai, kali kedua sejak tahun ini. Ia menunjukkan masih ada pihak yang tidak serik bersekongkol dengan sindiket penyeludupan manusia,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, kerjasama dengan AKPS yang terjalin sebelum ini akan diperkukuh melalui perkongsian data dan hasil siasatan SPRM bagi memastikan tindakan segera dapat diambil. AKPS turut menyambut baik dapatan operasi dan mempunyai pasukan khas untuk menjalankan siasatan dalaman.
SPRM juga bersedia membantu AKPS menerusi latihan, kepakaran serta khidmat nasihat bagi meningkatkan tahap integriti pegawai.
“Usaha AKPS sejak penubuhan amat baik, namun masih ada ruang untuk penambahbaikan,” katanya.
Kelmarin, seorang lagi pegawai agensi penguat kuasa ditahan SPRM kerana disyaki terbabit sindiket counter setting bertujuan melepaskan warga asing masuk ke negara ini tanpa mengikut prosedur ditetapkan.
Penahanan wanita berusia 40-an itu menjadikan keseluruhan 31 individu diberkas, termasuk 19 pegawai penguat kuasa yang bertugas di Terminal 1 serta Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), menerusi Op Rentas yang dijalankan SPRM sejak kelmarin.
Setakat ini, 28 daripada 31 individu yang ditahan menerusi Ops Rentas, direman untuk siasatan lanjut antara empat hingga tujuh hari bermula Rabu lalu, termasuk suspek yang ditahan semalam.
Selain 19 pegawai agensi penguat kuasa, baki yang ditahan reman membabitkan lima pemilik syarikat, seorang pengurus syarikat dan tiga orang awam.
Susulan operasi itu juga, SPRM menyita pelbagai jenis aset seperti kereta dan motosikal, barangan kemas, kepingan emas, peranti telekomunikasi, beg tangan serta jam tangan yang belum dianggarkan nilai keseluruhannya.
SPRM turut menyita wang tunai lebih RM200,000 dan membekukan 57 akaun perbankan membabitkan 48 akaun individu dan sembilan akaun syarikat dengan nilai lebih RM2.7 juta.










