Junta Myanmar bom dua sekolah,19 pelajar terbunuh

Junta Myanmar bom dua sekolah,19 pelajar terbunuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAYPYIDAW: Sekurang-kurangnya 19 pelajar terbunuh manakala 22 lagi cedera selepas dua sekolah menengah swasta di bandar Kyauktaw, negeri Rakhine, diserang oleh tentera junta Myanmar awal pagi semalam.

Menurut kenyataan Tentera Arakan (AA) yang dikeluarkan hari ini, mangsa berusia antara 15 hingga 21 tahun, dengan kumpulan itu menyifatkan serangan tersebut sebagai tindakan kejam terhadap orang awam.

“Kami turut berduka dan bersimpati dengan keluarga mangsa atas kematian pelajar yang tidak bersalah,” AA dalam kenyataan di Telegram.

Pertempuran antara Tentera Arakan dan junta Myanmar semakin sengit sejak setahun lalu apabila kumpulan bersenjata etnik minoriti itu merampas sebahagian besar wilayah di Rakhine.

Konflik berkenaan menjadi sebahagian daripada pergolakan berdarah yang melanda Myanmar sejak rampasan kuasa tentera pada 2021, yang menggulingkan kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi dan mencetuskan pemberontakan bersenjata di seluruh negara.

Setakat ini, pihak junta belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung dakwaan serangan itu.

Media tempatan Myanmar, Now, melaporkan sebuah pesawat tentera junta menjatuhkan dua bom seberat 226 kilogram (kg) ke atas sebuah sekolah menengah ketika pelajar sedang tidur.

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dalam kenyataan mengutuk serangan tersebut sebagai corak keganasan yang semakin dahsyat di Rakhine, dengan kanak-kanak menjadi mangsa utama.

Agensi berita AFP melaporkan, tidak dapat menghubungi penduduk di sekitar Kyauktaw kerana perkhidmatan internet dan telefon di kawasan itu terganggu.

Tentera Myanmar kini berdepan tentangan di pelbagai wilayah sejak merampas kuasa pada 2021, dan sering dituduh menggunakan serangan udara serta artileri untuk menyasarkan orang awam.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×