ALOR SETAR: Pas menegaskan isu calon Perdana Menteri dalam kalangan pemimpin mereka tidak pernah dianggap sebagai keutamaan, sebaliknya memastikan kemenangan parti dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Abdullah berkata, tiada keperluan untuk mengumumkan calon Perdana Menteri melihat kepada rekod parti yang tidak pernah mengangkat seorang ‘poster boy’ untuk dijadikan Menteri Besar kerana keputusan akhir bergantung kepada mandat parti dan kuasa mutlak institusi diraja.
“Kenapa tak ada (calon Perdana Menteri), saya pun boleh apa masalahnya. Cuma kita tengok apa keperluan untuk kita menyebut calon Perdana Menteri, bagi kami sejak dulu memang kita tak pernah menampilkan apa yang orang sebut sebagai ‘poster boy’ di negeri.
“Sebab yang penting kepada kita menang PRU, bila kita menang, siapa-siapa pun layak. Sebab isu Perdana Menteri atau Menteri Besar ini, ia bukan kita yang muktamadkan. Parti boleh cadang, tapi yang menentukan Sultan, kena hormati juga sensitiviti itu,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Perasmian Muktamar Dewan Muslimat Pas di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Pemuda Pas yang menamakan Timbalan Presiden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man selaku pilihan pertama calon Perdana Menteri di samping Naib Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Datuk Idris Ahmad dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Mohd Amar turut tidak menafikan bahawa parti itu mempunyai banyak calon yang layak diketengahkan sebagai Perdana Menteri.
“Pas kini memiliki 43 ahli Parlimen, takkanlah seorang pun tak layak itu tidak masuk akal. Syarat jadi Perdana Menteri jangan gila, itu sahaja. Kalau gila, masalah besar. Selagi lantik mereka yang waras dengan berpandukan Islam, insya-Allah kita boleh bawa Malaysia lebih baik daripada yang ada hari ini,” katanya.
Berkenaan usul Pemuda Pas agar parti itu menerajui Perikatan Nasional (PN) sekaligus menampilkan calon Perdana Menteri, kata Mohd. Amar, parti menghormati pandangan sayapnya sebagai salah satu intipati utama daripada sistem demokrasi.
“Tiada masalah, itu pandangan mereka dan kita beri kebebasan. Pemuda ada pandangan dia tetapi pengakhirannya parti yang akan buat keputusan,” katanya.
Mengulas kritikan pihak luar terhadap perkembangan yang dilihat seolah-olah mencetuskan pertembungan itu, beliau menyifatkan ia sekadar persepsi liar yang tidak memahami perjalanan sebenar parti.
“Orang luar ini, kalau kita berjalan berpimpin sekalipun, mereka cepat menuduh kita mahu bercerai,” jelasnya.










