PETALING JAYA: Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah mengakui cabaran sebenar menanti mereka apabila turun berdepan gandingan No.4 dunia dari China, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian pada separuh akhir Terbuka Hong Kong hari ini.
Pasangan No.2 dunia itu tampil meyakinkan apabila menyingkirkan rakan senegara, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing 21-12, 21-15 di suku akhir semalam.
Thinaah menegaskan mereka perlu meminimumkan kesilapan mudah terutama pada set kedua agar peluang melakar kemenangan lebih terbuka.
“Saya rasa masih ada perkara yang perlu diperbaiki, terutamanya kesilapan mudah pada set kedua, tetapi syukur kami dapat berbincang dan saling mengingatkan antara satu sama lain.
“Untuk perlawanan esok (hari ini), kami akan kekal berwaspada dan membuat persiapan rapi bagi memastikan permainan lebih kemas,” kata Thinaah.
Rekod pertemuan menyaksikan juara bertahan itu tewas kepada gandingan China untuk empat kali berturut-turut musim ini termasuk menyingkirkan peluang mereka ke final Terbuka China, Julai lalu.
Dalam pada itu, Pearly melihat keadaan gelanggang di Hong Kong kali ini memberi kelebihan buat mereka yang sudah terbiasa dengan corak angin yang tidak begitu mengganggu.
“Ya (kelebihan), saya rasa tiupan angin kurang berbanding dua tahun kebelakangan ini dan setiap gelanggang ada keadaannya tersendiri, jadi kami hanya perlu bersedia dari pihak kami,” kata Pearly.
Untuk rekod, edisi lalu menyaksikan Pearly-Thinaah merangkul gelaran selepas menumpaskan pasangan No.1 dunia dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning yang merupakan satu-satunya kemenangan yang dilakar ke atas juara dunia 2025 tersebut dalam lima pertemuan final. – UTUSAN










