ARAU: Sindiket penyeludupan lebih aktif menggunakan laluan sah berbanding lorong tikus bagi membawa masuk senjata api ke negara ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, pihaknya mengesan wujud sindiket menggunakan laluan seperti di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) dengan pelbagai kenderaan termasuk kereta persendirian, kereta sewa dan lori.
Katanya, senjata api yang dibawa masuk itu terlebih dahulu dileraikan itu kemudian dibungkus dan disorok bersama barangan lain di but kereta bagi melepasi pemeriksaan.
“Mereka (penyeludup senjata api), pakai kenderaan sahaja masuk melalui pintu utama sempadan. Mereka jarang menggunakan laluan tikus bagi menyeludup senjata api ini.
“Namun kita sentiasa menjalankan rondaan bersepadu di kawasan hutan serta laluan tikus,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Muhammad berkata, kawalan di sempadan termasuk di dalam kawasan hutan juga diperkukuhkan bagi mengekang aktiviti penyeludupan itu.
Kata beliau, pihaknya sentiasa bekerjasama erat dengan polis Thailand bagi mengekang penyeludupan senjata api ke negara ini.
“Polis Thailand sentiasa memainkan peranan mendapatkan maklumat risikan serta menjalankan operasi awal sebelum berkongsi maklumat dengan pihak berkuasa Malaysia.
“Kita amat menghargai kerjasama erat polis Thailand dan mereka juga berjaya mengesan aktiviti mencurigakan serta membuat tangkapan, sekali gus menghalang senjata api daripada dibawa masuk ke negara kita,” katanya.
Beliau berkata, suspek rakyat Malaysia yang ditahan bersama senjata api dan ratusan butir peluru di Danok, Thailand baru-baru ini masih direman dengan siasatan lengkap mengenainya masih dijalankan.
“Kita akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Thailand bagi memantau serta mengekang aktiviti penyeludupan senjata api di sempadan demi memastikan keselamatan negara sentiasa terjamin,” katanya.
Baru-baru ini, seorang lelaki berusia 42 tahun dari negara ini ditahan ketika sekatan jalan raya yang dijalankan oleh anggota Balai Polis Daerah Sadao.
Pemeriksaan ke atas kenderaan jenis Kia bernombor pendaftaran Malaysia itu menemukan dua laras raifal M4; 300 butir peluru kaliber 5.56 mm; tujuh magazin peluru 5.56 mm; 100 butir peluru kaliber .45 mm dan 50 butir peluru kaliber 9 mm.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sedang meneruskan siasatan terperinci bagi mengetahui latar belakang sebenar lelaki berkenaan sama ada benar-benar hanya orang upahan atau sebahagian daripada rangkaian jenayah terancang.
Sebelum itu, sumber pasukan Keselamatan Thailand memberitahu bahawa senjata api jenis rifel yang cuba diseludup ke negara ini dipercayai untuk kegunaan sindiket pengedaran dadah.-UTUSAN










