PARIS: Jawatankuasa Parlimen Perancis mencadangkan kanak-kanak bawah usia 15 tahun di negara itu dilarang menggunakan media sosial, manakala remaja berusia 15 hingga 18 tahun pula berdepan perintah berkurung digital pada waktu malam.
Cadangan tersebut adalah hasil siasatan selama enam bulan terhadap kesan psikologi aplikasi TikTok terhadap golongan bawah umur.
Ketua siasatan, Laure Miller berkata, rekaan aplikasi itu yang bersifat ketagihan serta algoritmanya telah ditiru oleh platform media sosial lain.
“Sudah tentu larangan ini bukanlah penyelesaian mutlak, tetapi salah satu langkah daripada banyak langkah lain yang perlu diambil,” katanya ketika membentangkan laporan tersebut.
Jawatankuasa khas tersebut ditubuhkan pada Mac lalu selepas tujuh keluarga memfailkan saman terhadap TikTok pada 2024 dengan mendakwa platform berkenaan mendedahkan anak-anak mereka kepada kandungan berunsur galakan membunuh diri.
Syarikat TikTok dalam kenyataan menegaskan keselamatan pengguna muda adalah keutamaan nombor satu mereka namun, laporan parlimen mendapati kandungan berbahaya masih berleluasa, malah algoritma aplikasi tersebut semakin efektif menarik pengguna remaja ke dalam lingkaran kandungan sedemikian.
Walaupun syarikat itu mendakwa 98 peratus kandungan yang melanggar terma perkhidmatan di Perancis ditapis melalui sistem AI, ahli parlimen menegaskan peraturan TikTok terlalu mudah untuk dipintas.
Laporan tersebut turut mengesyorkan larangan penggunaan media sosial diperluaskan kepada semua individu bawah 18 tahun sekiranya dalam tempoh tiga tahun akan datang, platform terbabit gagal mematuhi undang-undang Kesatuan Eropah (EU).
Syor lain yang dibentangkan ialah cadangan perintah berkurung digital dengan mengehadkan akses media sosial bagi remaja 15 hingga 18 tahun antara pukul 10 malam hingga 8 pagi.
Pejabat Presiden, Emmanuel Macron sebelum ini sudah memberi isyarat menyokong larangan terhadap kanak-kanak dan remaja, seiring dengan langkah Australia yang mula merangka undang-undang melarang individu bawah 16 tahun daripada menggunakan media sosial. -AGENSI











