Jambangan bunga segar sering menjadi pilihan utama bagi dijadikan hadiah buat insan tersayang.
Bukan sahaja untuk meraikan ulang tahun kelahiran, malah konvokesyen, pertunangan, perkahwinan mahupun sambutan hari ibu.
Hal itu kerana, bunga sudah sinonim sebagai simbol kasih sayang yang tidak lekang ditelan zaman.
Namun seiring arus kemodenan, muncul pula idea lebih kreatif iaitu bouqkek, yang menggabungkan antara bouquet (jambangan bunga) dan kek.
Bayangkan menerima sejambak bunga yang bukan sekadar cantik dipandang, tetapi juga boleh terus dinikmati sebagai pemanis mulut?
Keunikan itulah yang mendorong Fatin Shafiqah Mohd. Sai’an, 32, untuk menghasilkan bouqkek bagi mengisi masa terluangnya.
Lulusan Diploma Kejuruteraan Pembuatan ini berkata, aktiviti membuat dan menghias kek sudah menjadi rutin tetapnya sejak berhenti kerja pada 2021.
Katanya, segala ilmu dalam bidang berkenaan hanya dipelajari berasaskan resipi di laman Youtube, khususnya dari Korea.

“Saya tidak pernah tahu tentang kewujudan kek ini sehinggalah kawan tunjukkan gambar yang dibuat oleh individu dari luar negara.
“Tiga kali saya cuba buat bouqkek, tetapi kerana prosesnya agak mencabar, saya memilih untuk menumpukan pada kek-kek lain dahulu,” katanya kepada Seri baru-baru ini.
Bagaimanapun, ibu kepada seorang cahaya mata berusia tujuh tahun ini kembali menghasilkan bouqkek tahun ini setelah menemui resipi yang lebih mudah.
Katanya, bahagian paling rumit adalah untuk membalut kerana memerlukan tumpuan penuh dan ketelitian tinggi.
Namun, selepas kerap mencuba, proses itu menjadi semakin mudah dan hatinya puas apabila melihat hasil akhir.
Selain memenuhi tuntutan hobi, Fatin Shafiqah turut membuka tempahan menjual kek berkenaan menerusi jenama Dapuzma.
Sehingga kini, lebih 100 bouqkek dihasilkannya dengan dua rekaan utama iaitu bunga tulip dan ros.

Katanya, harga pula bermula daripada RM90 hingga RM140, dengan pilihan warna dan balutan mengikut cita rasa pelanggan.
“Ada juga pelanggan yang menghantar kek sendiri dan meminta saya menghiasnya sahaja,” katanya.
Tidak lokek berkongsi ilmu, anak jati Masai, Johor ini turut mengambil inisiatif menganjurkan kelas pembuatan krim segar untuk bouqkek.
Menurutnya, kelas itu mula diperkenalkan secara dalam talian pada tahun ini dan menerima sambutan yang sangat menggalakkan.
“Malah, ada juga permintaan untuk kelas bersemuka, namun ia belum dapat dilaksanakan kerana kekangan tempat,” katanya.

Kek seluar jeans
Selain bouqkek, Fatin Shafiqah pernah menerima tempahan untuk menghasilkan kek berbentuk seluar jeans.
Katanya, tempoh selama empat jam diambil untuk menghias pemanis mulut unik itu.
“Saya ikut contoh gambar diberikan pelanggan dan kemudian saya cari kaedah paling mudah untuk menghiasnya.
“Mula-mula gementar juga sebab tidak pernah buat tetapi saya lega kerana hasilnya menjadi seperti yang diinginkan pelanggan,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, antara kek paling lama yang dihasilkan ialah Powerpuff Girl.
Ketika itu, dia banyak belajar sambil menghayati cara penggunaan fondant.
Namun, jika diberi pilihan antara membuat dan menghias kek, wanita ini lebih sukakan tugasan kedua itu.
“Walaupun tiada bakat melukis dan hanya cuba-cuba sahaja tetapi aktiviti ini sangat menyeronokkan ibarat terapi diri.
“Apabila saya mula fokus menghias kek, secara tidak langsung saya dapat melupakan seketika segala masalah kerana tumpuan diberikan sepenuhnya kepada aktiviti itu,” katanya yang mendapat sokongan padu suami.

Menggigil hias kek
Empat tahun sudah berlalu, namun Fatin Shafiqah masih mengingati detik awalnya menghasilkan kek pertama.
Kedua-dua tangannya menggigil ketika mahu menghias krim di atas kek cawan.
“Saya langsung tidak tahu buat kek apatah lagi untuk menghiasnya. Walaupun tangan menggigil, saya tetap teruskan.
“Mujurlah nampak juga bentuk bunga cuma saya sendiri pun tidak pasti bunga jenis apa,” katanya tertawa.

Katanya, proses menghias kek cawan dianggap paling mudah kerana hanya mengambil masa kira-kira 10 minit untuk menyiapkan sembilan biji.
Antara pengalaman lucunya yang lain adalah apabila tersalah menetapkan tarikh tempahan kerana terlalu teruja.
Akibatnya, kek pelanggan telah disiapkan seminggu lebih awal daripada tarikh sebenar pesanan.
Wanita ini turut mengakui proses pembuatan kek tidak lari daripada kejadian bantat, merekah, melekat pada loyang, terlalu kering atau frosting yang mencair.
Bagi mengatasi masalah itu, dia sentiasa memastikan sukatan bahan tepat, menggunakan bahan-bahan segar, mengawal suhu ketuhar dan mengamalkan teknik yang sesuai.










