PETALING JAYA: Pengiktirafan Kesatuan Eropah (EU) terhadap pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dijangka dapat membantu mempercepatkan rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia-EU.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia sekali gus menjadi pemangkin menjelang pusingan kedua rundingan yang dijadualkan pada November di Malaysia.
“Rundingan FTA Malaysia-EU berjalan dengan baik dan sudah tentu pengiktirafan mereka terhadap MSPO akan membantu, manakala pusingan kedua rundingan akan berlangsung pada November dan kali ini Malaysia menjadi tuan rumah bersama pasukan perunding kita.
“Kami agak optimis. Memandangkan ketidaktentuan geopolitik semasa dan cabaran perdagangan antara Malaysia dan Eropah, FTA ini akan membantu meredakan sebahagian kesukaran dalam urusan perdagangan dan pelaburan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas pelancaran dan sambutan ulang tahun ke-10 Perbadanan Industri Aeroangkasa Nasional Malaysia (Naico) di sini, semalam.
Malaysia dan EU mula melancarkan rundingan FTA pada 2010, namun tergendala pada 2012 berikutan isu akses pasaran dan piawaian kelestarian, khususnya berkaitan minyak sawit.
Rundingan dijangka dimuktamadkan pada 2026.
Mengulas mengenai konflik serangan Israel ke atas Qatar, beliau menjelaskan bahawa setakat ini tiada kesan langsung terhadap perdagangan Malaysia atau sektor minyak dan gas (O&G) Malaysia, namun kerajaan akan terus memantau keadaan semasa.
Beliau turut menegaskan insiden keselamatan di Asia Barat tidak memberi sebarang impak kepada pembangunan industri aeroangkasa negara.
“Namun begitu, kita tetap perlu memantau keadaan. Sekiranya ia tidak berlarutan atau semakin meningkat, maka ia tidak seharusnya memberi kesan. Buat masa ini, memang tiada impak.
“Dari sudut keselamatan juga, tiada kesan. Industri aeroangkasa sememangnya berkait rapat dengan aspek keselamatan negara.
“Bagaimanapun, apa yang berlaku di Qatar adalah satu insiden yang tidak akan menjejaskan pembangunan industri aeroangkasa di Malaysia,” katanya. – UTUSAN










