Belanjawan 2026: Subsidi bersasar, ruang fiskal lebih luas

Belanjawan 2026: Subsidi bersasar, ruang fiskal lebih luas jadi tumpuan

ORANG ramai memenuhi sebuah pasar raya bagi menebus SARA di Arau, Perlis baru-baru ini. – UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan dijangka memperluaskan pelaksanaan subsidi bersasar menerusi penggunaan MyKad serta memperkenalkan lebih banyak bentuk bantuan terus kepada rakyat dalam Belanjawan 2026.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pendekatan itu dijangka diperkukuh selepas kejayaan beberapa inisiatif sedia ada seperti Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan bantuan one-off RM100 yang mendapat maklum balas positif daripada rakyat.

“Kerajaan akan melipatgandakan lagi cara pemberian bantuan serta menumpukan kepada mekanisme subsidi bersasar bagi memastikan ketirisan dan pembaziran melalui subsidi pukal dapat dikurangkan. 

“Antara yang dijangka diberi perhatian termasuklah subsidi terbesar iaitu bagi bahan api seperti RON95, diesel dan gas petroleum cecair (LPG),” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut beliau, langkah itu juga tidak mustahil akan meningkatkan perbelanjaan kerajaan untuk menangani kos sara hidup, namun ia mampu dilaksanakan dengan lebih berkesan melalui mekanisme pemberian yang tepat.

Dalam masa sama, katanya, dasar fiskal kerajaan yang menyalurkan bantuan secara langsung bagi pembelian barangan keperluan, khususnya makanan dan menyuntik aliran tunai ke dalam ekonomi domestik.

“Ia memberi kesan berganda kepada pelbagai sektor seperti makanan dan minuman, borong dan runcit, logistik serta pengangkutan. 

“Ini penting bagi memastikan momentum pertumbuhan domestik terus mampan dan dapat menerajui perkembangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ketika sektor eksport masih berdepan cabaran global,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Aimi Zulhazmi berkata, insentif kerajaan kali ini juga dijangka lebih terarah berdasarkan pendapatan bersih isi rumah dengan memanfaatkan data daripada Pangkalan Data Utama (PADU).

“Pengumpulan dan kemas kini data secara masa nyata perlu diutamakan kerana ia membantu keberkesanan program kerajaan. Malah, ia juga menyokong penggunaan MyDigital ID dalam merealisasikan hasrat kerajaan digital sepenuhnya,” ujarnya.

Beliau menambah, golongan M40 turut berpeluang menikmati bantuan secara bersasar sebagaimana B40, namun dengan kadar berbeza mengikut kemampuan pendapatan bersih isi rumah masing-masing.

“Bukan sekadar pelepasan cukai, tetapi bantuan secara terus juga boleh dipertimbangkan untuk M40 kerana sebahagian besar daripada mereka adalah kakitangan awam dan swasta di peringkat pertengahan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, usaha kerajaan melalui konsolidasi fiskal telah menunjukkan kesan positif apabila beberapa langkah penstrukturan cukai dan rasionalisasi subsidi berjaya mengurangkan defisit fiskal negara.

“Pengenalan cukai baharu, kenaikan kadar cukai perkhidmatan, peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta rasionalisasi subsidi bahan api telah menurunkan defisit fiskal kepada RM46.7 bilion bagi tempoh tujuh bulan pertama 2025 berbanding RM52.9 bilion dalam tempoh sama tahun lalu. 

“Justeru, kerajaan kini mempunyai ruang fiskal sekiranya peruntukan untuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Program Sumbangan Asas Rahmah (Sara) dinaikkan dalam belanjawan kali ini. 

“Selain itu, cukai untuk golongan M40 juga boleh dikurangkan bagi meningkatkan pendapatan boleh guna mereka,” katanya.

Tambah beliau, langkah seterusnya adalah memastikan pertumbuhan ekonomi berkualiti dapat dicapai selaras dengan sasaran dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang memperuntukkan RM430 bilion untuk pembangunan atau purata RM86 bilion setahun.

“Melaksanakan projek pembangunan seperti sekolah, hospital, klinik kesihatan, pusat latihan dan jalan raya bukan sahaja memberi keselesaan kepada rakyat dalam jangka panjang, tetapi juga meningkatkan produktiviti sekali gus menyumbang kepada peningkatan pendapatan negara,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×