Industri aeroangkasa sasar hasil RM30 bilion tahun ini

Industri aeroangkasa sasar hasil RM30 bilion tahun ini

TENGKU Zafrul Tengku Abdul Aziz (tengah) merasmikan sambutan ulangtahun ke-10 Naico Malaysia di Matrade, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/ M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Industri aeroangkasa Malaysia dijangka mencatatkan hasil sebanyak RM30 bilion pada 2025, meningkat berbanding RM25.1 bilion tahun lalu, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, peningkatan itu didorong oleh barisan projek sedia ada serta penglibatan syarikat antarabangsa termasuk Airbus, Boeing dan pemain tempatan.

“Sasaran itu realistik berdasarkan pertumbuhan pesat industri aeroangkasa Malaysia yang semakin mendapat tempat dalam rantaian bekalan global.

“Kita optimis sasaran RM30 bilion dapat dicapai tahun ini memandangkan penyertaan syarikat antarabangsa dan perkembangan industri dalam negara sendiri amat menggalakkan. 

“Selain itu, Malaysia terus memperkukuh kerjasama antarabangsa termasuk dengan China, Eropah dan Amerika Syarikat (AS) dalam sektor aeroangkasa,” katanya selepas pelancaran dan sambutan Ulang Tahun Ke-10 Perbadanan Industri Aeroangkasa Nasional Malaysia (Naico) di sini, semalam. 

Beliau berkata, pada tahun lalu, industri aeroangkasa negara mencatatkan hasil RM25.1 bilion dengan 30,000 tenaga kerja, kebanyakannya berkemahiran tinggi. 

Katanya, ini merupakan pencapaian tertinggi dalam 10 tahun dan menyaksikan pelaburan baharu yang membentuk landskap aeroangkasa Malaysia dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada acara itu, Pusat MyAERO turut diperkenalkan yang kini beroperasi sepenuhnya di ibu pejabat Naico Malaysia 

Tengku Zafrul berkata, Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab utama industri aeroangkasa di Asia Pasifik apabila menerima aliran pelaburan baharu daripada syarikat antarabangsa dan tempatan dalam segmen pembuatan serta penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO).

Jelasnya, antara pelaburan terbaharu yang membentuk landskap industri aeroangkasa negara termasuk peluasan operasi Airbus dan Boeing di Malaysia, selain Composites Technology Research Malaysia Sdn. Bhd (CTRM) di bawah DRB-HICOM yang menerajui pengeluaran komposit dengan membekalkan komponen kritikal kepada pengeluar peralatan asli (OEM) global. 

“Keupayaan CTRM kini diperkukuh melalui pengambilalihan Spirit AeroSystems Malaysia.

“Selain itu, HS Aerosystems dari China turut muncul sebagai pengeluar utama komponen aero bernilai tinggi di Malaysia, manakala NAFCO melabur sebanyak AS$40 juta (RM188 juta).

“Pelaburan itu untuk membangunkan kemudahan pembuatan pengikat dan kejuruteraan berketepatan tinggi di Seremban, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan global Tier-2,” ujarnya. 

Bagi sektor MRO pula, Asia Digital Engineering (ADE) membuka hangar 14 petak di KLIA Aeropolis, Singapore Airlines Engineering Company (SIAEC) melancarkan hangar berteknologi tinggi di Malaysia, manakala Airfoil Services Sdn. Bhd. menubuhkan fasiliti pembaikan bilah turbin Rolls-Royce pertama dunia.

“Selain itu, Aircraft Propeller Service membangunkan pusat MRO khusus pertama di Asia Pasifik di Shah Alam, manakala GE Aerospace mengumumkan peluasan operasinya di Subang.

“Kesemua perkembangan ini mencerminkan keyakinan pelabur asing dan domestik terhadap kemampuan Malaysia untuk muncul sebagai pusat pembuatan aeroangkasa bernilai tinggi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×