Mudir didakwa lakukan amang seksual fizikal pelajar lelaki

Mudir didakwa lakukan amang seksual fizikal pelajar lelaki

TERTUDUH (kiri) semasa dibawa polis untuk prosiding perbicaraan di Mahkamah Sesyen Pasir Mas, Kelantan. - UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Seorang mudir di sebuah pondok di Tumpat, dekat sini didakwa di Mahkamah Seksyen di sini, hari ini atas tujuh pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar lelaki dan memiliki gambar lucah pada Jun 2024 hingga 20 Ogos lalu.

Muhammad Aswadi Yah, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keenam, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja lelaki yang berusia 16 tahun. Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam bilik sebuah rumah di Kampung Kubang Batang, Wakaf Bharu, Tumpat dekat sini, kira-kira pukul 7 pagi hingga 7.30 pagi bermula Jun 2024 sehingga 20 Ogos lalu.

Bagi keenam-enam pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika disabitkan kesalahan.

Bagi pertuduhan ketujuh, lelaki itu didakwa memiliki gambar lucah di dalam telefon miliknya pada pukul 4.06 petang di lokasi sama pada 29 Ogos lalu. Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aisyah Na’ilah Harizan manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Irwan Sumadi. Terdahulu, Siti Aisyah Na’ilah memohon jaminan sebanyak RM90,000 bagi enam pertuduhan amang seksual dan liwat dan RM5,000 bagi kes memiliki gambar lucah.

Mohd. Irwan dalam rayuannya meminta jaminan yang minimum dengan alasan anak guamnya perlu menanggung seorang isteri, empat anak dan ibu yang uzur.

“Tertuduh juga mempunyai masalah kesihatan iaitu tekanan darah rendah dan sakit tulang belakang yang memerlukan anak guam saya berjalan dengan memakai tongkat,” katanya.

Mahkamah menetapkan ikat jamin RM45,000 untuk kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan iaitu tertuduh tidak mengganggu saksi dan perlu melaporkan diri di balai polis terdekat setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 11 November ini untuk sebutan semula kes dan tertuduh membayar jaminan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×