Ke arah budaya kerja penjawat awam berdaya saing

Ke arah budaya kerja penjawat awam berdaya saing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERKHIDMATAN awam berdepan cabaran dunia moden yang kompleks. Pendekatan lama berasaskan pematuhan prosedur tidak lagi memadai.

Untuk kekal relevan dan diyakini rakyat, budaya kerja baharu perlu diwujudkan. Ia perlu lebih fleksibel, terbuka dan berdaya saing. Ini menuntut keterbukaan kepada perubahan, inovasi berterusan serta kerjasama rentas sektor.

Globalisasi, krisis iklim dan kemajuan teknologi mengubah cara kerja. Penjawat awam perlu memiliki daya tahan, kemahiran baharu serta kemampuan bertindak pantas terhadap cabaran kompleks.

Mereka berperanan sebagai ejen perubahan, memimpin organisasi ke arah keberkesanan lebih tinggi melalui budaya organisasi yang adaptif.

Sementara pendekatan inklusif memastikan dasar lebih mantap kerana lahir daripada pelbagai perspektif. Proses dari bawah ke atas, perbincangan terbuka dan kerjasama kepimpinan memberi ruang pegawai menyumbang idea.

Dasar juga mesti inklusif dalam pelaksanaan, dengan memberi perhatian kepada golongan rentan seperti B40, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas. Teknologi menjadi penghubung untuk mengurangkan jurang bandar-luar bandar.

Rakyat kini menuntut perkhidmatan setanding sektor swasta berdasarkan pantas, telus dan berkualiti. Justeru, penjawat awam perlu menguasai pemikiran kritikal, analitik data dan literasi digital.

Inovasi mesti diutamakan, termasuk automasi, sistem maklumat bersepadu dan kecerdasan buatan (AI) bagi menyokong keputusan berasaskan bukti.

Namun, kejayaan hanya tercapai jika infrastruktur teknologi diperkukuh, capaian data ditingkatkan dan wujud ekosistem yang menyokong percubaan serta pembelajaran daripada kegagalan.

Beberapa langkah strategik penting termasuk memperbaharui kurikulum latihan penjawat awam dengan penekanan kepada kepimpinan strategik, mengubah sistem pengurusan prestasi berasaskan hasil serta memperkukuh ekosistem digital. Usaha ini akan menjadikan perkhidmatan awam lebih bersedia menghadapi cabaran global.

Transformasi budaya kerja menuntut penjawat awam meninggalkan zon selesa. Mereka bukan lagi pelaksana dasar semata-mata tetapi penggerak reformasi untuk masa hadapan progresif dan lestari.

Dengan komitmen bersama, sektor awam Malaysia mampu muncul sebagai model pentadbiran unggul, responsif dan diyakini rakyat.-UTUSAN

AWANG AFFEROZ AWANG MARIKAN
Jawatan Perunding Latihan Kanan,
Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN)
Kampus Sarawak (INSARA)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×