Penduduk Felda Sungai Tekam, Jerantut menyambut meriah kedatangan Hari Merdeka dan Hari Malaysia pada tahun ini apabila beramai-ramai mengibarkan Jalur Gemilang di setiap rumah dan kawasan blok masing-masing.
Hiasan Jalur Gemilang dan binaan replika kecil melambangkan kejayaan pembangunan negara turut mewarnai di persimpangan masuk ke kawasan blok kediaman masing-masing termasuk taman bunga.
Pengerusi Gerakan Persatuan Wanita (GPW) Felda Sungai Tekam, Rusnah Abdul Latif, 59, berkata, sempena sambutan Hari Kebangsaan persatuan itu menganjurkan Pertandingan Rumah Peneroka, Pertandingan
Landskap Persimpangan Blok Kediaman dan Pertandingan Hiasan Taman.
“Pertandingan ini bertemakan kemerdekaan dan pemilik kediaman, jawatan kuasa blok dan taman berperanan menghias tempat masing-masing dengan Jalur Gemilang dan inovasi binaan replika.
“Tidak ada pihak yang membantu, kalangan penduduk (peneroka) di sini mengeluarkan wang poket sendiri dan selebihnya dibiayai daripada dana Tabung Blok, itupun merupakan sumbangan ahli GPW dan peneroka yang dianggarkan perbelanjaan hampir RM5,000,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Kata Rusnah, sebanyak 2,000 helai Jalur Gemilang ‘berkibar’ megah sejak dua minggu sebelum tarikh 31 Ogos dan berlanjutan sehingga sambutan Hari Malaysia 16 September sebelum pemenang diumumkan.
Tambahnya, semangat patriotisme penduduk diterjemahkan menerusi aktiviti bergotong-royong menghias kediaman, kawasan blok masing-masing dan taman pada sebelah petang dan hujung minggu bermula bulan Ogos lalu sehingga ini.
Seorang penduduk generasi kedua Felda, Anuar Rahman, 62, berkata, dia kagum serta teruja dengan peranan GPW dan penduduk wanita di Felda itu yang bersungguh-sungguh untuk menyemarakkan sambutan
Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia setiap tahun.
“Lebih menarik dan patut dihargai apabila kaum wanita bertungkus lumus menyiapkan landskap dihiasi kibaran bendera Malaysia, mengecat bahan buangan seperti tayar, botol dan kayu serta binaan replika seperti
Menara Berkembar Petronas, bunga rafflesia, wau bulan, rumah peneroka, bunga raya dan sebagainya,” katanya.
Pesara guru itu berkata, semangat dalam kalangan ahli GPW serta dibantu oleh kaum lelaki menunjukkan kebersamaan dalam masyarakat peneroka yang mendiami kawasan itu sejak lebih separuh abad lalu.
Ia hasil pembangunan pembukaan tanah yang dipelopori bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak pada 1956.
KREATIF CARA TERSENDIRI
Seorang penduduk, Shaz’wani Aida Shafe’i, 27, bersama suaminya, Wan Muhammad Izzat Wan Khairulamin, 27, membina replika Jalur Gemilang menggunakan 100 keping sarang telur di depan rumah.
Shaz’wani Aida merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Geografi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)berkata, replika bendera Malaysia dibina menggunakan sarung telur ayam yang disusun serta dilekatkan dengan papan lapis dan diwarnai dengan cat air.
Ia disiapkan dalam tempoh lima hari.
“Kami sudah merancang awal bulan Ogos lagi untuk membina replika Jalur Gemilang setelah kampung ini dipilih oleh Jabatan Penerangan Lipis menyertai pertandingan Laman Merdeka sempena Hari Kebangsaan.
“Saya mencadangkan kepada suami supaya replika itu dibentuk menggunakan sarang telur ayam kerana nampak lebih kreatif dan menarik selepas dicat warna bendera,” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Putu, Lipis, Shafi’e Ibrahim, 63, berkata, aktiviti berkenaan mampu memupuk semangat patriotik generasi muda.
“Bukan untuk mengejar kemenangan, tetapi inovasi yang dilakukan semata-mata untuk memeriahkan sambutan dan pada masa sama berbangga dengan kemakmuran negara.
“Selain itu, mendidik generasi hari ini mengenai sejarah tokoh pejuang dan proklamasi kemerdekaan 1957 dengan menitip nilai patriotisme supaya sayangkan tanah air tercinta,” katanya.-UTUSAN










