13 pemaju projek solar bangun LSS PETRA 5+ bernilai RM6 bilion

13 pemaju projek solar bangun LSS PETRA 5+ bernilai RM6 bilion

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 13 pemaju projek di bawah Program Solar Skala Besar, Peralihan Tenaga SuRiA Pusingan Kelima Tambahan (LSS PETRA 5+) akan membangun loji dengan nilai pelaburan melebihi RM6 bilion.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, pihaknya telah menerima surat aku janji daripada 13 pemaju tersebut yang berjaya dalam proses bidaan terbuka yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Tenaga.

Katanya, keputusan bidaan terbuka tersebut telah diumumkan pada 2 September lalu dengan 13 pembida dipilih berdasarkan harga kompetitif serta pematuhan kepada kriteria yang ditetapkan.

“Mereka diberi kelulusan kuota untuk membangunkan loji janakuasa solar berskala besar di seluruh negara yang dijangka mula beroperasi seawal 2027.

“Projek berkenaan dianggarkan melibatkan nilai pelaburan melebihi RM6 bilion serta berpotensi mewujudkan sehingga 12,000 peluang pekerjaan dalam industri tenaga boleh baharu tempatan.

“Penyerahan surat aku janji itu melambangkan komitmen pemaju untuk melaksanakan dan menyiapkan projek dalam tempoh masa yang ditetapkan, selain memastikan pematuhan kepada program kerja serta jadual pelaksanaan,” katanya dalam kenyataan. 

PETRA berkata, antara pemaju projek yang terlibat ialah Equinox Solar Farm Sdn. Bhd., Konsortium Abu Dhabi Future Energy Company P.J.S.C. (Masdar), Citaglobal Renewable Energy Sdn. Bhd. dan TIZA Global Sdn. Bhd. serta Konsortium Antara Hijauan Sdn. Bhd. dan Anglo-Eastern Plantations Management Sdn. Bhd., 

Pemaju lain adalah Konsortium Classic Solar Farm Sdn. Bhd. dan Jubli Pasifik Sdn. Bhd., Konsortium Fabulous Sunview Sdn. Bhd. dan Cypark Renewable Energy Sdn. Bhd., serta Konsortium JAKS Solar Power Holdings Sdn. Bhd. dan China Power Engineering Consulting Group International Engineering Co. Ltd.

Turut tersenarai adalah Konsortium JBB Builders (M) Sdn. Bhd. dan Samaiden Sdn. Bhd., Konsortium Malakoff Corporation Berhad dan Solarvest Holdings Bhd., Konsortium reNIKOLA Holdings Sdn. Bhd., Anglo-Eastern Plantations Management Sdn. Bhd. dan RE Chenderong Sdn. Bhd., 

Selain itu, Konsortium Wawasan Dengkil Sdn. Bhd., Pristine Multi-Vision (M) Sdn. Bhd. dan Nestcon Infra Sdn. Bhd., Leader Energy Ventures Sdn. Bhd. serta MSR Green Energy Sdn. Bhd. juga terpilih.

Sejak diperkenalkan pada 2016, program LSS telah menjadi pemangkin utama dalam memperkukuh pembangunan industri tenaga boleh baharu di Malaysia. 

Setakat ini, sebanyak 121 projek diluluskan dengan jumlah kapasiti 6,228 megawatt (MW) dan anggaran nilai pelaburan melebihi RM21 bilion.

PETRA menegaskan, pelaksanaan inisiatif LSS PETRA 5+ adalah sejajar dengan hala tuju kementerian untuk meningkatkan campuran tenaga boleh baharu dalam sistem bekalan elektrik negara kepada 70 peratus menjelang 2050.

Ini selaras dengan komitmen mengurangkan jejak karbon sektor tenaga serta menyokong agenda kemampanan Malaysia Madani. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×