TELUK INTAN: Istana Lama Raja Muda yang terletak di Jalan Syed Abu Bakar di sini terus dipulihara meskipun sudah lama tidak berpenghuni bagi memastikan nilai estetika dan warisan sejarahnya kekal terjaga.
Istana bersejarah yang dibina sekitar tahun 1922 ini pernah menjadi kediaman rasmi Raja Muda Perak.
Walaupun istana itu kini tidak lagi digunakan, usaha pemuliharaan tetap diteruskan bagi mengelakkan kawasan tersebut menjadi semak dan mencacatkan pemandangan.
Orang Besar Jajahan Hilir Perak, Datuk Meor Redwan Mahayudin berkata, pemeliharaan kawasan istana lama ini adalah selaras dengan hasrat pihak berkepentingan agar ia tidak dibiarkan dalam keadaan terbiar dan terurus.
“Apabila kawasan sekitar istana ini menjadi semak samun, ia bukan sahaja menjejaskan pemandangan tetapi juga mencemar imej institusi diraja.
“Sebagai istana rasmi Raja Muda suatu ketika dahulu, tempat ini perlu sentiasa ditinjau dan dijaga,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau menghargai usaha Jabatan Kerja Raya (JKR) Teluk Intan yang menunjukkan komitmen tinggi dalam menjaga kebersihan kawasan tersebut.
Tinjauan mendapati beberapa pekerja JKR menjalankan kerja-kerja memotong rumput di sekitar kawasan istana yang meliputi keluasan kira-kira dua hektar.
Difahamkan kerja-kerja pembersihan ini dilakukan secara berkala setiap bulan dan melibatkan seramai 10 orang pekerja.
Meor Redwan berkata, walaupun bukan mudah untuk membersihkan kawasan seluas ini, usaha itu membuktikan bahawa pihak kerajaan melalui agensi berkaitan tetap komited dalam memelihara warisan negeri.
“Pemuliharaan istana lama ini bukan sahaja mencerminkan penghargaan terhadap sejarah, tetapi turut menyumbang kepada usaha mengekalkan nilai kebudayaan dan identiti negeri Perak,” katanya.-UTUSAN











