PETALING JAYA: Jaguh muay thai negara, Johan Ghazali Zulfikar , akui hatinya masih terikat untuk bertarung semula dengan dua petarung Columbia, Johan Estupinan dan Diego Paez.
Jojo, 18, yang menumbangkan petarung dari Maghribi, Zakaria El-Jamari ‘technical knockout’ (TKO) pusingan pertama ONE Fight Night 35 , masih mahu bertemu semula Estupinan dan Paez jika diberikan peluang.
“Saya memang nak sangat rematch dengan Estupinan. Selain itu, saya juga terbuka untuk bertemu semula dengan Diego Paez atau sesiapa saja.
“Siapa saja yang mereka letak depan saya, saya akan lawan,” katanya.
Lebih manis, kemenangan terbaharunya ini disifatkan sebagai ganjaran selepas dua perlawanan tanpa hasil.
“Kali ini saya puas hati, kerja keras saya berbaloi dan saya dapat balik bawa kemenangan,” katanya.
Anak muda kelahiran Sarawak itu turut menzahirkan penghargaan buat pasukan Superbon Training Camp yang banyak membentuk ketenangan serta disiplin ketika beraksi di gelanggang.
“Mereka ibarat abang kepada saya, bukan sahaja Superbon dan Nong-O, tetapi semua di kem. Mereka keluarga saya sekarang,” kata Jojo yang kini sudah mengumpul deretan KO dalam karier profesionalnya.
Jojo juga sempat berterima kasih kepada peminat setia yang tidak pernah berhenti menyokong beliau.
“Menyokong saya sekarang ibarat beli Bitcoin pada 2010, nilainya hanya akan naik. Saya sayang anda semua,” katanya. – UTUSAN










