Lelaki Vietnam mengaku cederakan bayi dipenjara sehingga 23 bulan

Lelaki Vietnam mengaku cederakan bayi dipenjara sehingga 23 bulan

TERTUDUH, Nguyen Minh Hoa (tengah) diiringi oleh dua anggota polis ketika tiba di Mahkamah Majistret Butterworth, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Seorang lelaki warga Vietnam mengaku bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas lima pertuduhan termasuk cuba mencederakan seorang bayi dengan menggunakan pisau, bulan lepas.

Tertuduh, Nguyen Minh Hoa, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa dalam bahasa Vietnam di hadapan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap dua lelaki iaitu masing-masing warga tempatan dan Nepal dengan menggunakan sebilah pisau di Pasaraya Billion Telaga Air di sini, pukul 1 tengah hari.

Untuk pertuduhan ketiga pula, tertuduh didakwa cuba mendatangkan kecederaan terhadap bayi lelaki berusia 11 bulan menggunakan sebilah pisau di lokasi dan masa yang sama seperti dua pertuduhan awal.

Pendakwaan bagi ketiga-tiga pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 511 kanun yang sama.

Sementara itu, bagi pertuduhan keempat, dia didakwa mencuri udang, ketam merah, kerang, ikan cencaru dan ayam bernilai RM180 milik pasar raya berkenaan pada pukul 12.35 tengah hari pada hari sama.

Pendakwaan bagi kesalahan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan terakhir atau kelima pula, tertuduh didakwa tinggal di negara ini selepas tamat pas lawatan pada 18 Oktober 2024 iaitu selama 9 bulan 22 hari tanpa alasan munasabah dan ia dianggap sebagai satu kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta boleh dihukum mengikut Seksyen 15(4) akta yang sama.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa, Asisten Superintenden Nor Aziah Hasan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh dalam rayuannya bagaimanapun memohon agar hukuman ringan diberikan dengan alasan bahawa dia mempunyai tiga orang anak yang masih kecil manakala ayahnya pula telah meninggal dunia.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM20,000 bagi pertuduhan pertama hingga ketiga dan memerintahkan agar tertuduh dipenjara sehingga 23 bulan sekiranya sekiranya gagal membayar denda berkenaan manakala bagi pertuduhan keempat dan kelima pula, tertuduh dijatuhi hukuman penjara selama lapan bulan.

Media sebelum ini melaporkan, suspek bertindak agresif apabila cuba melarikan diri selepas mencuri makanan laut sebelum menarik bayi berusia 11 bulan daripada pelukan ibunya sambil memegang sebilah pisau di sebuah pasar raya di Telaga Air itu.

Dia dikatakan bertindak sedemikian semasa cuba melarikan diri bagi mengelak daripada ditahan oleh penyelia pasar raya dan pihak keselamatan di pasar raya berkenaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×