Audit elemen penting banteras rasuah – Anwar

Audit elemen penting banteras rasuah – Anwar

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Audit dalaman merupakan elemen penting dalam usaha membanteras ketirisan, penyelewengan dan rasuah, khususnya dalam memastikan tadbir urus yang baik dalam sektor awam dan swasta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ruang seluas-luasnya diberikan kepada agensi-agensi berkaitan agar jentera kerajaan dapat diawasi dengan lebih dekat dan melibatkan kerjasama erat daripada Bursa Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti serta syarikat-syarikat swasta.

Katanya, pelaksanaan audit dalaman yang menyeluruh dan berkesan adalah satu keperluan penting sekiranya negara serius mahu menyelesaikan permasalahan besar seperti rasuah dan kegagalan tatakelola.

“Jika kita benar-benar serius mahu mengatasi masalah besar iaitu ketirisan, keterlanjuran dan rasuah, maka audit dalaman adalah penting. Ia adalah antara asas kepada tadbir urus baik (good governance).

“Kita sering berbicara soal memacu pertumbuhan ekonomi, tetapi mana-mana negara pun tidak akan berjaya jika ketirisan dan rasuah terus dibiarkan berleluasa. Masalah ini perlu ditangani secara menyeluruh,” katanya semasa merasmikan Persidangan Konfederasi Asia Institut Juruaudit Dalaman (ACIIA) 2025, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini.

Persidangan itu menghimpunkan seramai 1,500 profesional tadbir urus dari 26 negara.

Anwar berkata, kerajaan tidak dapat mencapai tadbir urus yang baik secara bersendirian kerana memerlukan sokongan daripada sektor swasta dan badan-badan profesional.

Beliau turut memberikan penghargaan kepada Institut Juruaudit Dalaman Malaysia di atas pelancaran Panduan Penyata Pengurusan Risiko dan Kawalan Dalaman (SORMIC) 2025 bersama Bursa Malaysia.

“Ia menyediakan panduan kepada syarikat-syarikat untuk memupuk kesedaran terhadap risiko, mengukuhkan keyakinan pelabur, serta membuat persediaan menghadapi ESG dan risiko-risiko baharu yang sedang muncul,” katanya.

Anwar berkata, Kerajaan Madani bercita-cita membawa negara ke arah status berpendapatan tinggi dan membina salah satu ekonomi paling berdaya saing di dunia.

Katanya, juruaudit di sektor awam dan swasta memainkan peranan penting dalam memelihara keyakinan itu.

“Itulah sebabnya kita memperkukuh mandat Jabatan Audit Negara, yang diketuai oleh Ketua Audit Negara, melalui pindaan pertama kepada Akta Audit dalam tempoh 33 tahun. Ia mungkin bukan reformasi yang glamor, tetapi ia adalah satu keperluan yang penting.

“Kita juga menubuhkan Jawatankuasa Ketidakteraturan Serius untuk menangani pelanggaran kritikal dengan cepat.

“Sekali lagi, ia mungkin tidak menjadi tajuk utama, tetapi inilah perkara pokoknya, memastikan pelaku dipertanggungjawabkan dan melindungi dana awam. Sejak 2024, audit susulan telah berjaya memulihkan dan melindungi sebanyak RM159 juta,” katanya.

Beliau berkata, cabaran membanteras rasuah bukan perkara mudah kerana mereka yang terlibat lazimnya mempunyai kekuatan daripada segi kewangan dan pengaruh.

“Dalam sejarah mana-mana negara, amat sukar untuk membanteras rasuah kerana mereka yang terlibat mempunyai dana, kekuatan dan pengaruh.

“Saya ucapkan terima kasih kepada rakan-rakan yang berani mengambil tindakan demi membersihkan jentera kerajaan atau swasta daripada melanggar peraturan dan sebarang unsur penyelewengan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×