KEMAMAN: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad melahirkan kebimbangan mengenai projek pembinaan Hospital Kemaman di Bandar Baru Kijal, di sini, yang mengalami kelewatan hampir lapan tahun.
Beliau berkata, projek pembinaan hospital itu dimulakan pada November 2017 dan kini berada tahap 84 peratus pembinaan.
“Hospital ini sepatutnya menjadi mercu baharu perkhidmatan kesihatan di Kemaman, namun kelewatan berpanjangan amat membimbangkan.
“Berdasarkan pemerhatian saya, sekurang-kurangnya setahun lagi diperlukan untuk menyiapkan projek ini, namun dengan syarat kontraktor benar-benar serius dan komited,” katanya selepas melawat Tapak Projek Hospital Kemaman, hari ini.
Dr. Dzulkefly berkata, difahamkan masalah kewangan yang dihadapi kontraktor menjadi kekangan untuk menyiapkan projek itu.
Menurutnya, kontraktor itu turut diberikan lanjutan masa (EOT) sebanyak lapan kali atau 1,315 hari.
“Hospital Kemaman yang baharu ini sangat diperlukan untuk menampung pesakit berikutan kadar pengguna katil di hospital yang sedia ada kini melebihi 90 peratus.
“Kementerian akan berbincang dengan Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Kerja Raya sebagai agensi pelaksana atau pentadbir kontrak bagi menentukan hala tuju projek dan kita mahu projek yang ditunggu-tunggu ini menemui noktahnya dan kebajikan rakyat menjadi keutamaan,” katanya. – UTUSAN










