Pearly-Thinaah turun pertahan gelaran Terbuka Hong Kong

Pearly-Thinaah turun pertahan gelaran Terbuka Hong Kong

PEARLY-Thinaah akan berdepan beregu Amerika Syarikat, Francesca Corbett-Jennie Gai. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Naib juara dunia, Pearly Tan-M. Thinaah turun ke Terbuka Hong Kong dengan misi serampang dua mata iaitu mempertahankan gelaran dan menghapuskan ‘badi’ ke atas beregu No.1 dunia, Liu Sheng Shu-Tan Ning.

Turun selaku pilihan kedua, laluan awal beregu No.2 dunia itu dijangka lancar, namun kemuncak pastinya pertemuan getir menentang juara dunia 2025 dari China yang kini menjadi ‘watak pengacau’ kepada mereka ketika ini.

Beregu China itu menghantui beregu wanita No.1 negara itu selepas apabila Pearly-Thinaah tewas dalam empat final berturut-turut, termasuk kehilangan gelaran juara dunia kepada gandingan itu pada bulan lalu.

Pearly berkata, mereka sedar cabaran semakin sukar, namun berjanji untuk terus memperbaiki kelemahan dalam usaha menamatkan badi tersebut.

“Banyak sumpahan lagi sebenarnya, semua pemain pun sedang meningkat, jadi kami juga perlu cuba untuk meningkat,” kata Pearly.

Sebelum ini, gandingan negara berjaya memadam badi pasangan Jepun, Chiharu Shida-Nami Matsuyama yang memegang rekod 13-1 sebelum ini apabila merakam dua kemenangan penting di Terbuka Jepun dan Kejohanan Dunia selepas enam kekalahan berturut-turut sejak 2023.

Namun kini, Sheng Shu-Tan Ning pula menjadi penghalang baharu apabila mendominasi rekod pertemuan 10-3, dengan kemenangan di Hong Kong tahun lalu menjadi satu-satunya detik manis Pearly-Thinaah dalam lima pertemuan di pentas final.

Dalam pada itu, Thinaah berkata, mereka tetap mempunyai sasaran tersendiri walaupun turun dengan status pilihan kedua, sekali gus mempertahankan gelaran Terbuka Hong Kong itu.

“Saya rasa kami ada sasaran sendiri juga kerana bila masuk kejohanan sebagai pilihan kedua, sudah tentu ada jangkaan, tetapi saya bersyukur kerana ada jurulatih dan rakan sepasukan yang sentiasa bersama,” kata Thinaah.

Pada aksi pembukaan Terbuka Hong Kong berstatus Super 500, pasangan negara dijadual menentang beregu Taiwan, Chang Ching Hui-Yang Ching Tun yang menghuni ranking No.17 dunia.

Pearly-Thinaah mempamerkan aksi terbaik musim ini selepas muncul juara Terbuka Thailand selaoin naib juara di Indonesia Masters, Terbuka Indonesia, Terbuka Jepun dan terbaharu di Kejohanan Dunia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×