Buli bukan sekadar perbuatan nakal atau masalah disiplin sekolah yang boleh diselesaikan dengan teguran dan hukuman.
Ia lebih dalam daripada itu sehingga mampu merosakkan struktur paling asas dalam diri seorang kanak-kanak iaitu emosi, keyakinan diri dan yang paling tidak disedari, perkembangan otak mereka.
Pensyarah Kanan di Jabatan Pendidikan Ikhtisas Pendidikan dan Siswazah, Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Dr. Siti Noor Fauziah berkata, kesan buli paling besar apabila dialami pada usia awal, khususnya sebelum kanak-kanak mencapai usia lima tahun.
“Kajian neurosains dan psikologi perkembangan terkini menegaskan pengalaman awal, sama ada positif atau negatif meninggalkan kesan langsung terhadap struktur otak dan perkembangan emosi kanak-kanak.
“Pada tahap ini, seni bina otak berada pada fasa perkembangan optimum. Otak terdiri daripada berbilion sambungan antara neuron di pelbagai bahagian yang membolehkan komunikasi berlaku dengan sangat pantas antara neuron yang mempunyai fungsi khusus.
“Walaupun proses membina sambungan baharu dan menyingkirkan sambungan yang tidak digunakan berterusan sepanjang hayat, sambungan yang terbentuk pada peringkat awal menjadi asas, sama ada kukuh atau rapuh kepada sambungan yang terbentuk pada peringkat seterusnya,” katanya.
Selain itu, kanak-kanak membina asas moral bukan hanya melalui arahan, tetapi juga melalui pemerhatian.
Lebih menyedihkan, kanak-kanak jarang tahu cara meluahkan tekanan ini.
Mereka tidak datang kepada ibu atau guru dan berkata, ‘Saya tertekan.’
Sebaliknya, menzahirkan melalui cara yang halus seperti enggan ke sekolah, kerap menangis atau melukis gambar-gambar yang menggambarkan pergolakan batin mereka.
Kadang-kala, hanya dengan nota ringkas bertulis ‘mama tak sayang abang’ atau ‘semua orang jahat’, mereka memberi isyarat kepada dunia ada sesuatu tidak kena.
Menurut teori psikososial Erik Erikson, pengalaman awal sangat penting untuk membina kepercayaan, keyakinan dan inisiatif.
Jika pengalaman positif, anak akan lebih yakin dan berdaya saing.
Namun, pengalaman negatif seperti pengabaian, kawalan keterlaluan atau buli boleh merencatkan keyakinan mereka hingga ke alam dewasa.
Buli menjadikan mangsa takut bersuara, malu untuk berdiri sendiri dan akhirnya terpenjara dalam dunia yang penuh ketakutan.
Mungkin tidak berdarah, tapi kesannya boleh menjalar sepanjang hayat.
FAHAMI ISYARAT HALUS
Dr. Siti Noor Fauziah berkata, peranan ibu bapa dan pendidik sangat penting dalam memahami isyarat-isyarat halus ini.
Perubahan tingkah laku sering dianggap sebagai masalah disiplin, tetapi jarang bertanya punca yang mendorong anak bersikap demikian.
Sedangkan dalam banyak kes, mereka sebenarnya sedang meminta tolong dalam diam.
“Mencegah buli bukanlah tugas guru atau sekolah semata-mata. Ia bermula sejak kecil di rumah, didokong oleh masyarakat dan disokong oleh dasar pendidikan yang tegas.
“Anak-anak kita belajar lebih banyak daripada apa yang mereka lihat berbanding apa yang mereka dengar. Jika mereka disemai dengan kasih sayang, empati dan nilai moral, mereka akan membesar sebagai generasi yang yakin, berdaya tahan dan berani menolak buli.
“Setiap pelukan, kata-kata baik dan teladan kecil yang kita tunjukkan hari ini bukan sahaja mengisi hati mereka, tetapi juga membina benteng yang melindungi mereka daripada luka emosi pada masa depan.
Daripada sinilah lahir generasi berani yang mampu menolak budaya buli dan menegakkan budaya hormat serta kemanusiaan,” ujarnya.
Hakikatnya, kerosakan yang dilakukan oleh buli bukan sahaja berlaku dalam hati atau tingkah laku.
Ia juga memberi kesan langsung kepada otak yang mengawal kawalan diri, empati dan penyesuaian sosial.
Kesan ini boleh kekal hingga dewasa, terutamanya jika tiada rawatan atau sokongan emosi yang sewajarnya diberi.
Justeru, pencegahan awal jauh lebih penting.
Ia bermula dengan kesedaran setiap pengalaman kecil dalam hidup anak adalah benih yang membentuk watak mereka.
Guru dan ibu bapa perlu peka terhadap perkembangan fizikal, emosi, sosial, moral dan kognitif anak-anak.
Kajian menunjukkan pendekatan pembelajaran dan aktiviti seperti membaca cerita bertema buli, menulis surat kepada watak atau perbincangan kelas dapat membantu kanak-kanak memahami isu ini dan membina empati.-UTUSAN










