MELAKA: Polis berjaya menumpaskan dua sindiket penipuan dalam talian yang menjadikan negeri ini sebagai pusat operasi selepas menahan 19 individu menerusi Op Merpati, minggu lalu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Melaka di tiga buah kediaman selepas risikan dan maklumat awam diperoleh.
Katanya, dalam tangkapan pertama pada 2 September lalu di sebuah apartmen di Jalan Tun Perak, polis menahan tujuh lelaki warga Indonesia berusia 21 hingga 41 tahun.
“Mereka masuk ke negara ini menggunakan pas pelancong dan dibayar gaji RM1,000 hingga RM2,000 sebulan oleh ketua sindiket dan modus operandi mereka adalah dengan mengiklankan telefon bimbit, motosikal dan kereta pada harga murah di Facebook sebelum mangsa dihubungi melalui Telegram.
“Selepas bayaran dibuat ke akaun bank di Indonesia dan Shopeepay, mangsa tidak menerima barang yang dijanjikan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang di sini, hari ini.
Dzulkhairi berkata, polis merampas pelbagai barangan bernilai RM25,000 termasuk tujuh komputer riba, lapan telefon bimbit dan beberapa peralatan lain.
Beliau berkata, tangkapan kedua pula dibuat keesokan hari di sebuah kediaman mewah di Ayer Keroh, sebelum serbuan susulan di Banda Hilir.
Katanya, 12 individu ditahan terdiri daripada seorang lelaki tempatan, dua wanita Filipina serta sembilan lelaki warga China berusia 24 hingga 60 tahun.
“Sindiket ini kononnya menawarkan perkhidmatan seks kepada warga China melalui aplikasi Telegram dan mangsa diminta membuat bayaran ke akaun bank di Kemboja sebelum nombor mereka disekat sebaik menerima wang bayaran.
“Kesemua suspek menerima bayaran bulanan antara AS$1,500 hingga AS$2,300 daripada ketua sindiket dan siasatan mendapati mereka sudah beroperasi selama tiga bulan,” katanya.
Kesemua tangkapan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 120B Kanun Keseksaan serta beberapa peruntukan di bawah Akta Imigresen 1959. – UTUSAN









