SHAH ALAM: Raja Azura Tengku Ahmad Tajuddin yang lebih dikenali dengan panggilan Kak Engku atau KE menganggap kejayaan anak-anaknya di dalam pelajaran sebagai kejayaan dirinya juga sebagai ibu tunggal.
Menurut artis serba boleh itu, sebagai ibu tunggal yang menjadi harapan keluarga dia ingin dilihat menjadi ikon kepada anak-anaknya dalam melayari kehidupan serba mencabar hari ini.
“Pendidikan awal yang saya terapkan kepada anak-anak saya adalah untuk melihat keperibadian saya sebagai seorang ibu, sebelum mereka melangkah lebih jauh.
“Didikan saya kepada anak-anak untuk melihat saya sebagai ikon mereka, yang mana saya kena betulkan diri saya sebelum saya mendidik anak-anak seperti mana yang saya mahukan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan anak keduanya, Megat Luqman Hakim Adzmin, 22, menerima Diploma Pengurusan Acara pada majlis Istiadat Konvokesyen UiTM ke-102 di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) Universiti Teknologi MARA UiTM Shah Alam, di sini hari ini.
Raja Azura, 52, yang popular dengan drama Mat Despatch berkata, dia mengharapkan ketiga-tiga orang cahaya matanya iaitu Megat Muhammad Raziq, 23; Megat Luqman Haqim, dan Puteri Mia Maizura, 20, berjaya dalam pelajaran sebagai bekal menjalani kehidupan mereka.
Jelasnya lagi, sejak berpisah dengan Adzmin Osman yang juga anak bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Aroff pada 28 September 2010, fokus utamanya hanyalah membesarkan anak-anaknya dengan pendidikan yang sempurna.
“Sebagai seorang ibu saya sentiasa menitipkan nasihat kepada anak-anak untuk sentiasa menjaga diri sebagai amanah Allah, dengan menuntut ilmu dan adab agar menjadi insan yang sempurna dalam hidup.
“Saya tidak pernah meminta anak-anak melakukan sesuatu yang berlebihan daripada kemampuan diri mereka. Cukuplah mereka dapat menjaga diri sendiri dan apabila bekerja dapat menunaikan tanggungjawab dan amanah dengan baik,” ujarnya.
Sementara itu, Megat Luqman Hakim berkata, dia tidak merasakan menjadi anak seorang selebriti sebagai satu masalah besar kerana perkara paling penting adalah untuk memenuhi cita-citanya berjaya dengan cemerlang dalam bidang pengurusan acara satu hari nanti.
Jelasnya yang sedang menyambung pengajian di peringkat ijazah, ibunya sama seperti ibu-ibu lain ingin melihat anak mereka berjaya bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat.
“Jujur saya katakan saya fokus kepada pelajaran sebagai satu tanggungjawab dan amanah ibu. Kawan-kawan pun tidak tahu saya anak kepada seorang artis yang dikenali. Mereka tahu pun lambat yang saya anak seorang selebriti di negara ini,” jelasnya. – UTUSAN








