SHAH ALAM: Biarpun mempunyai minat yang berbeza, namun kedua-duanya mampu tampil cemerlang dalam bidang masing-masing dengan memperoleh sarjana muda kepujian kelas pertama dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Pasangan kembar seiras, Wan Nur Afiqah Saifurizal, dan Wan Nur Aqilah mencatatkan kejayaan cemerlang dalam Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-102 apabila masing-masing memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.78 dan 3.57.
Dalam istiadat konvokesyen tersebut, Wan Nur Afiqah, 24, menerima Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kepujian) Penyiaran sementara kembarnya pula Wan Nur Aqilah dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Komunikasi Antarapersonal.
Menurut mereka kejayaan itu amat manis kerana selain dapat bergraduasi dari fakulti dan sidang yang sama, malah tamat pengajian dengan keputusan yang membanggakan.
Menurut Wan Nur Afiqah, biar pun berbeza jurusan, namun pengalaman sepanjang pengajian bersama pasangan kembarnya ibarat ‘cubit peha kanan, peha kiri pun rasa sakit’.
“Bila mengenang kembali kenangan ketika pengajian, memang banyak kenangan suka dan duka dihadapi bersama-sama. Saksi kami adalah pensyarah serta rakan-rakan yang bersama-sama jatuh dan bangun menyiapkan tugasan ketika mengharungi sesi pengajian.
“Akhirnya ini adalah saat gembira bagi kami apabila kedua-duanya dapat menggenggam ijazah sarjana muda serentak dalam sidang sama. Lebih seronok apabila bersama keluarga dan meraikannya juga dengan kawan-kawan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Istiadat yang diadakan di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), seramai 24,643 graduan menerima ijazah masing-masing dalam sidang yang bermula pada 3 hingga 20 September, sementara di Sarawak dan Sabah pula masing-masing pada 17 dan 18 September serta 8 dan 9 Oktober depan.
Seramai 349 graduan dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) menerima ijazah diploma, sarjana muda dan sarjana masing-masing dalam pelbagai bidang iaitu Kewartawanan, Pengiklanan, Penyiaran, Penerbitan, Perhubungan Awam, Pengurusan Komunikasi dan Dasar, Komunikasi Antarapersonal, Instruksional Komunikasi dan Latihan serta Komunikasi Media Baharu.
Sementara itu, Wan Nur Aqilah memberitahu, itu adalah kali kedua mereka menaiki pentas untuk menerima ijazah apabila kali pertama ketika masing-masing dianugerahkan Diploma Komunikasi dan Media dari universiti yang sama, tiga tahun lalu.
“Perasaan sama macam semasa kami berdua menerima diploma sebelum ini. Bila tengok kakak naik pentas rasa seperti dua kali terima ijazah cuma berbeza kursus,” ujarnya anak kelahiran Kuala Kangsar, Perak itu. – UTUSAN










