Kejamnya politik tangki biru di Sabah

Kejamnya politik tangki biru di Sabah

PEMBERIAN tangki biru pernah menjadi jenaka dalam kempen pilihan raya di Sabah. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pilihan raya dan janji sogokan dua perkara yang sinonim. Tidak ada pilihan raya tanpa janji kerana dalam pilihan raya, mesti ada janji atau sogokan kepada pengundi.

Macam-macam dijanjikan melainkan bulan bintang. Kadangkala janji ibarat pelangi, indah tapi tidak kekal. Mungkin itulah dinamakan sogokan janji pilihan raya.

Janji-janji pilihan raya merujuk kepada manifesto atau komitmen yang dikemukakan oleh parti-parti politik kepada rakyat semasa tempoh kempen pilihan raya.

Tujuan utama janji itu adalah untuk meyakinkan pengundi bahawa mereka layak mendapat sokongan dan undi. Berikut adalah beberapa contoh janji-janji yang sering dibuat dalam pilihan raya di Malaysia dan juga negara lain.

Menabur janji juga semacam satu dilema kepada parti politik bertanding kerana dua sebab.

Pertama, kalau menabur janji tetapi tidak ditepati boleh diungkit oleh rakyat pada masa akan datang, sedangkan janji perlu dibuat untuk menarik pengundi. Kedua, janji mesti ditunaikan supaya sokongan diperoleh berterusan dan boleh lagi berjanji pada masa akan datang. Ini kerana janji yang tunaikan itu semacam satu testimoni keberkesanan parti berkenaan.

Yang penting sebenarnya janji mesti sesuai keperluan rakyat dan tahap sosio ekonomi mereka. Berjanji mengumumkan penurunan kadar hutang negara dan menaikkan unjuran Keluaran Dalam

Negara Kasar (KDNK) tidak bermakna bagi penduduk kampung yang kemudahan asasnya belum begitu sempurna. Apalah sangat KDNK yang baik jika rakyat di pedalaman masih berdepan jalan raya berlubang lubang.

Ini sama seperti berjanji kepada arnab akan membelinya pisang jika menang atau berjanji kepada sekumpulan kera akan membelinya lobak jika beroleh kemenangan atau berjanji menurunkan harga minyak kepada persatuan penarik beca.

Menjelang pilihan raya (PRN) ke-17 Sabah ini, walaupun gendang perang belum dipukul dan penyimpan mohor pilihan raya belum mengumumkan tarikh pembubaran dewan negeri, janji-janji sudah mula ditaburkan, sekurang-kurangnya dengan mengata parti lain, parti dialah paling bagus.

Negeri Sabah memerlukan pembangunan dan keperluan asas rakyat sepatutnya diutamakan. Isu sekolah daif dan kemudahan hospital yang belum mencukupi serta jalan berlubang-lubang masih terdapat di sana sini.

Satu ketika pernah berlaku janji pilihan raya memberi tangki biru kepada rakyat negeri itu. Malah janji pemberian kain batik pun ada.

Sebab itu, semua janji pilihan raya semuanya boleh dianggap manis manis belaka. Rakyat berharap apa sahaja yang dijanjikan bertandang ke pintu rumah, tapi janganlah meremehkan mereka serendah itu.

Di sebalik itu semua , pakar Komunikasi Politik, Perhubungan Awam Kerajaan dan Perang Saraf, Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof. Dr. Syahruddin Awang Ahmad berpendapat, penduduk

Sabah harus membuat kajian mendalam mengenai siapa calon dan parti yang bertanding dalam PRN akan datang.

Rakyat Sabah, kata beliau, perlu menilai rekod prestasi, integriti dan kemampuan calon untuk membawa perubahan positif kepada negeri. Pengundi juga perlu memahami manifesto yang ditawarkan dan melihat sama ada ia realistik serta relevan dengan keperluan rakyat, seterusnya membuat pilihan berdasarkan akal budi dan bukan sentimen semata-mata.

“Kemunduran Sabah walaupun selepas beberapa PRN sebelum ini sering dikaitkan dengan pelbagai faktor seperti isu tadbir urus yang lemah, rasuah dan ketidakstabilan politik akibat isu lompat parti. Selain itu, pelaksanaan manifesto yang tidak konsisten atau kurangnya keazaman politik untuk melaksanakan janji-janji yang dibuat juga menjadi punca utama.

“Sumber ekonomi yang tidak diuruskan dengan cekap serta kebergantungan kepada satu atau dua sektor utama turut menyumbang kepada masalah ini,” ujar beliau.
Menurut beliau lagi, penduduk Sabah sering kali terpengaruh dengan janji-janji manis atau manifesto kerana harapan tinggi untuk melihat kemajuan dan penyelesaian kepada isu-isu berbangkit.

Bagaimanapun, janji-janji ini sering kali tidak ditunaikan sepenuhnya disebabkan oleh pelbagai kekangan seperti kekurangan dana, perubahan dasar kerajaan dan keutamaan yang beralih dari semasa ke semasa mengikut perspektif kerajaan yang memerintah.

Keadaan ini menyebabkan kekecewaan dan rasa tidak percaya terhadap sistem politik dalam kalangan rakyat. Beliau penuh yakin bahawa penduduk Negeri Di Bawah Bayu itu sudah semacam lali mengenainya.

Maka apakah yang akan ditunggu lagi jika janji tidak ditepati? Malangnya, janji ini semacam luput tarikh dengan tingkah laku pemimpin yang dipilih bertukar kiblat selepas menang.

“Aksi lompat parti oleh ahli politik Sabah secara umum dilihat sebagai satu bentuk pengkhianatan kepada pengundi. Apabila seorang wakil rakyat melompat parti, ia bermakna wakil rakyat tersebut secara sengaja meminggirkan mandat yang diberikan oleh rakyat.

“Tindakan ini bukan sahaja menyebabkan ketidakstabilan politik tetapi juga menghakis kepercayaan rakyat terhadap proses demokrasi dan integriti ahli politik seterusnya menimbulkan rasa marah dan kecewa dalam kalangan pengundi,” ujar Dr. Syahruddin mengulas isu lompat parti.

Maka kata beliau, keputusan untuk memilih sama ada parti atau calon adalah dilema yang sering dihadapi pengundi.

Sebaiknya kata beliau lagi, pengundi perlu mempertimbangkan kedua-duanya. Pilih calon yang mempunyai rekod bersih, berintegriti dan berdedikasi untuk berkhidmat kepada rakyat, tanpa mengira parti.

Katanya lagi, parti-parti yang bertanding dalam PRN ke- 17 kali ini dijangka menggunakan isu-isu pembangunan ekonomi, infrastruktur dan kebajikan rakyat sebagai bahan kempen utama. Isu-isu seperti peluang pekerjaan, peningkatan taraf hidup, bekalan air dan elektrik, serta pemilikan tanah akan menjadi tumpuan.

Selain itu, isu autonomi Sabah, peruntukan hasil negeri, dan pengurusan sumber asli juga mungkin akan menjadi topik hangat. Janji-janji berkaitan dengan kestabilan politik dan tadbir urus yang baik juga dijangka akan ditonjolkan secara strategik sepanjang kempen nanti.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan peruntukan untuk Sabah sudah dinaikkan kepada RM 6 bilion, satu angka yang boleh disyukuri sahaja tetapi tidak mencukupi. Kemudahan asas seperti sekolah dan jalan raya sangat mendesak. Ada rakyat Sabah merungut kerana jalan raya yang teruk menyebabkan tayar kenderaan mereka terkoyak.

Saya ingin menarik perhatian kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee yang mendakwa isu yang membelenggu rakyat negeri itu kini tidak lagi sekadar ‘tiga serangkai’ melibatkan masalah air, jalan raya dan elektrik, sebaliknya sudah melebar menjadi ‘lima serangkai’ termasuk isu rasuah dan tanah berkaitan lesen cari gali mineral.

Ronald menegaskan, isu air khususnya semakin parah apabila rakyat terus berdepan gangguan bekalan walaupun pelbagai janji telah dibuat.

PRN kali ini benar benar mencabar, maka dengan menyogokkan setakat tangki biru dan kain batik tidak mampu menarik perhatian. Itu pun belum mengambil kira isu kematian pelajar sebuah sekolah di Sabah Zara Qairina yang menghimpun satu hati rakyat negeri itu. Siapa pun akan diberi mandat nanti patut menghapuskan sebarang persepsi isu tersebut.

Sama ada Datuk Seri Hajiji Noor kekal atau akan ada ketua menteri baharu bergantung kepada siapa menang banyak kerusi atau berjaya membentuk jajaran kerjasama baharu. Hajiji daripada parti kerajaan , Gabungan Rakyat Sabah (GRS) manakala pembangkang diketuai Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal akan memberi ancaman. Gabungan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN)

dan beberapa komponennya termasuk Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) tetapi parti seperti Warisan dan parti-parti Kadazandusun Murut (KDM) berpeluang jadi penentu. Namun gabungan

parti parti KDM seolah-olah tidak menjadi kerana Parti Bersatu Sabah (PBS) tidak menyertai gabungan KDM dan kekal dengan GRS atau ada penjajaran baharu yang akan diwujudkan kemudian selepas keputusan diketahui. Adakah Hajiji, Mohd. Shafie antara calon ketua menteri atau datang daripada parti-parti KDM. Perlu juga diketahui peranan bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Salleh Said Keruak yang berpotensi membuat kemunculan semula.

Beliau kini Pengarah Pilihanraya BN sempena PRN kali ini dan sedang membuat percaturan calon bertanding bagi gabungan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×