Tiada kayu bakau, kilang arang 100 tahun berisiko tutup

Sukar dapat kayu bakau, kilang arang 100 tahun berisiko tutup

MOHD. Arqam Md. Deros (kiri) dan ayahnya, Md. Derus Maluddin (kanan) mengusahakan penghasilan kayu arang kayu bakau di Sabak Arang, Kampung Paya Lebar, Melaka. - MINGGUAN/ARIF HAMIZAN MISKON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Sebuah perusahaan arang kayu berusia hampir seabad di Sabak Arang, Kampung Paya Lebar di sini berdepan risiko menutup operasi selepas sukar memperoleh bekalan kayu bakau sejak lebih 20 tahun lalu.

Pemiliknya, Md. Derus Ma­l­ud­din, 82, berkata perusahaan diasaskan pada 1925 oleh seorang usahawan Cina itu diambil alih olehnya pada 1974 dengan harga RM30,000.

Sejak itu, arang kayu keluaran kilangnya mendapat permintaan tinggi daripada pemborong hingga diiktiraf antara yang terbaik di Asia Tenggara.

“Saya ada dua dapur untuk membakar kayu bakau dan mampu hasilkan sekitar 45 tan arang sebulan dengan jualan mencecah RM40,000. Namun selepas setengah abad, masa depan perniagaan ini makin kabur.

“Permohonan saya memperbaharui lesen dan mendapatkan plot hutan bakau sering ditolak. Bagaimana hendak teruskan perusahaan jika tidak dibenar me­nebang pokok,” katanya yang mengusahakan bengkel berke­naan dengan dibantu anaknya, Mohd. Arqam Md. Derus.

Md. Derus mendakwa tindakan berkenaan seolah-olah menekan satu-satunya perusahaan arang kayu tradisional milik bumiputera di Melaka.

Tambahnya, negeri ini memiliki kira-kira 647 hektar hutan bakau bernilai ratusan juta ringgit yang kebanyakannya tidak dimanfaatkan.

“Saya lihat banyak pokok bakau besar tumbang dan mati. Lebih baik sedikit kawasan diperuntukkan kepada perusahaan ini sekali gus menjana ekonomi penduduk tempatan. Kini saya terpaksa beli kayu dari negeri lain pun masih tak cukup,” katanya.

Selain masalah bekalan, Md. Derus turut melahirkan rasa kesal kerana tapak perusahaan yang dijadikan persinggahan pelancong Sungai Kuala Linggi tidak dibangunkan dengan kemudahan asas.

“Saya sudi kongsi kepakaran dan bawa pelancong lihat sendiri proses pembuatan arang kayu. Tapi saya malu, tempat ini macam bangsal lembu, atap bocor, tiada elektrik dan tandas.

“Mereka mahu jadikan tarikan pelancong, tapi usaha mencantikkan tiada. Saya pula ma­kin tenat, mana mampu tanggung semua,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×