MELAKA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka mengemukakan tiga cadangan penambahbaikan tatakelola kepada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bagi memperkukuh sistem pengurusan dana sumbangan pembaikan serta pembinaan masjid dan madrasah di negeri ini.
Antara penambahbaikan yang disyor ialah memperkemaskan Buku Garis Panduan JKPSM khususnya berkaitan pelaksanaan dan pelaporan kerja, selain menyeragamkan kaedah serta format pelaporan kewangan penerima sumbangan agar lebih telus.
Turut dicadangkan ialah pengisian segera jawatan di Unit Kejuruteraan MAIM yang kini tidak mencukupi berikutan jumlah permohonan baik pulih masjid dan madrasah semakin meningkat.
Pengarah SPRM Melaka, Datuk Adi Supian Shafie berkata, langkah itu penting bagi menutup ruang salah guna serta mengelakkan ketirisan dana.
“Cadangan penambahbaikan ini telah disambut baik dan dipersetujui oleh MAIM kerana ia mampu meningkatkan ketelusan pengurusan dana.
“Kita tidak mahu ada ruang penyelewengan, terutama melibatkan wang peruntukan sumbangan untuk pembaikan dan pembinaan rumah ibadat,” katanya ketika sesi pembentangan laporan Garis Panduan Mesyuarat Jawatankuasa Sumbangan Pembaikan dan Pembinaan Masjid dan Madrasah (JKPSM) di Bukit Palah, di sini, semalam.
Difahamkan, cadangan itu dibuat selepas SPRM menerima maklumat pada 28 Januari lalu mengenai kelemahan prosedur kerja baik pulih sebuah madrasah di Taman Telok Mas yang melibatkan dana peruntukan MAIM berjumlah RM250,000.
Menurut SPRM, wujud prosedur longgar dalam Buku Garis Panduan JKPSM sehingga boleh membuka ruang manipulasi laporan dan penyelewengan peruntukan.
“Maklumat diterima SPRM awal tahun ini jelas menunjukkan wujud keperluan penambahbaikan terhadap sistem sedia ada,” ujarnya.
“Prosedur longgar dalam Buku Garis Panduan JKPSM boleh membuka ruang manipulasi laporan dan ketirisan dana, sebab itu penambahbaikan perlu segera dilaksanakan,” jelas beliau.
Majlis pembentangan laporan tersebut disertai Setiausaha MAIM, Shaifulfazlee Mohamad dan disaksikan Adi Supian. Hadir sama, Pegawai Unit Integriti Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Mahmud Ahmad serta Pegawai UPT SPRM Melaka, Muhammad Aiman Lingen Abdullah. – UTUSAN











