Warga asing tinggal lebih masa bawah 90 hari dikompaun serta-merta

Warga asing tinggal lebih masa bawah 90 hari dikompaun serta-merta

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Jabatan Imigresen terus mengenakan kompaun kepada pengembara asing yang didapati tinggal melebihi masa bagi tempoh 90 hari ke bawah, berkuatkuasa serta-merta.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah baharu itu menyaksikan kes tinggal lebih masa dalam tempoh berkenaan tidak lagi akan diteruskan sehingga proses pendakwaan di mahkamah.

Katanya, bagi kesalahan terlebih masa antara satu hingga 30 hari, kompaun yang dikenakan adalah RM30 sehari sehingga maksimum RM900.

“Namun, kalau memasuki hari ke-31 hingga ke 60 akan dikompaun terus secara automatik sebanyak RM1,000 dan kesalahan untuk hari ke-61 hingga 90 pula dikenakan kompaun RM2,000.

“Tetapi kalau terlebih tinggal di negara ini melebihi 90 hari atau misalnya sembilan tahun, kesalahan itu kita akan membuka kertas siasatan,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Peluncuran Kampung Angkat dan Sekolah Angkat Madani Jabatan Imigresen Malaysia di Sekolah Kebangsaan (SK) Rambong Pulai, hari ini.

Menurut beliau, tindakan memberi kompaun itu diyakini dapat mempercepatkan tempoh pengadilan kepada hanya satu hari berbanding proses asal yang memakan masa sehingga 14 hari.

“Malah, ada kebaikannya kita laksanakan langkah ini iaitu depot tahanan kita tidak terlalu sesak tetapi ini hanya kita benarkan untuk alasan yang kita anggap munasabah dikenakan kompaun berbanding pendakwaan.

“Antara alasannya seperti mereka yang mengalami kesakitan sehingga tak boleh balik kerana kadang-kadang mereka terlibat dengan kemalangan atau alasan lain yang munasabah termasuklah bencana alam seperti banjir, itu perkara-perkara di luar kawalan,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin memaklumkan seramai 35,225 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan di seluruh negara sejak 1 Januari tahun ini hingga 30 Ogos lalu kerana melanggar pelbagai peraturan imigresen.

Katanya, tangkapan itu hasil 9,500 operasi yang dijalankan dengan pemeriksaan membabitkan 152,000 warga asing dengan rakyat Indonesia, Myanmar dan Bangladesh mencatatkan tangkapan tertinggi dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

“Golongan ini termasuk individu yang masuk ke negara tanpa dokumen, mereka yang tinggal melebihi tempoh serta menyalahgunakan pas sah, khususnya permit kerja. Sepanjang tempoh sama, sebanyak 1,395 majikan juga diambil tindakan kerana menggaji atau melindungi PATI,” katanya. 

Tambah beliau, seramai 36,557 warga asing sudah dihantar pulang ke negara asal setakat 28 Ogos lalu yang tidak termasuk tangkapan baharu 35,225 itu.

Katanya, proses penghantaran dilakukan dalam masa 10 hari selepas perintah tahan, perintah usir, serta tiket penerbangan diperoleh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×