BAITULMUQADDIS: Tentera Israel semalam mendakwa sudah menguasai 40 peratus daripada kawasan Gaza City, ketika serangan udara dan darat oleh rejim Zionis terus memaksa ribuan penduduk Palestin meninggalkan kediaman mereka.
Namun begitu, masih ramai penduduk Gaza yang enggan menurut arahan pemindahan paksa oleh Israel, sebaliknya memilih untuk terus bertahan di celah-celah runtuhan bangunan, di kawasan yang kini menjadi medan pertempuran sengit.
Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan sekurang-kurangnya 53 orang terkorban akibat serangan Israel dalam tempoh 24 jam lalu, dengan majoriti mangsa berada di kawasan Bandar Gaza.
Tentera Israel dilaporkan sedang mara dari pinggir bandar dan kini hanya beberapa kilometer sahaja dari pusat bandar Gaza. Kawasan seperti Zeitoun dan Sheikh Radwan disebut sebagai antara yang kini berada di bawah kawalan Israel.
“Kami sedang memusnahkan infrastruktur Hamas. Hari ini, kami telah menguasai 40 peratus Gaza City,” kata jurucakap tentera Israel, Brigedier Jeneral Effie Defrin dalam satu sidang media.
Beliau turut menyatakan operasi ketenteraan akan terus diperluas dan ditingkatkan dalam masa terdekat, sambil menegaskan bahawa serangan hanya akan dihentikan selepas semua tebusan Israel dibebaskan dan pentadbiran Hamas di Gaza berjaya dilumpuhkan.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Turus Tentera Israel, Eyal Zamir dilaporkan memaklumkan kepada Jemaah Menteri bahawa pentadbiran tentera perlu diwujudkan di Gaza sekiranya tiada pelan pascaperang yang jelas.
Cadangan tersebut bagaimanapun mendapat tentangan, termasuk daripada Perdana Menteri Benjamin Netanyahu sendiri, meskipun ia disokong oleh anggota kerajaan paling berhaluan kanan yang mendesak agar penempatan haram Israel dibangunkan di wilayah Gaza.
Sementara itu, penduduk Gaza terus berdepan dengan situasi cemas. Seorang ibu kepada lima anak, Um Nader, bertegas beliau tidak akan meninggalkan rumahnya walau dalam keadaan bahaya.
“Kali ini saya tidak akan lari. Saya mahu mati di sini. Tidak ada gunanya berpindah. Berpuluh ribu yang melarikan diri pun tetap dibunuh Israel. Jadi, apa bezanya?” katanya kepada agensi berita Reuters.
Menurut laporan penduduk tempatan, tentera Israel melancarkan serangan hebat ke atas beberapa kawasan di Gaza City termasuk Zeitoun, Sabra, Tuffah dan Shejaia, melalui serangan udara dan darat.
Di daerah Sheikh Radwan pula, kereta kebal Israel dilaporkan memusnahkan banyak rumah dan menyebabkan kebakaran besar yang turut memusnahkan khemah-khemah penempatan sementara penduduk yang dipindahkan.










