MEDITERANEAN: Satu fenomena pelik mencetuskan tanda tanya dalam kalangan penduduk tempatan, pelancong, dan komuniti saintifik apabila objek misteri yang digelar ‘Bola Neptun’ mula muncul di sepanjang pantai-pantai Mediterranean, terutama selepas kejadian ribut.
Sekilas pandang, objek-objek ini kelihatan seperti kelapa gugur, atau haiwan berbulu yang menggulung tubuh mereka. Malah, ada yang menyamakannya dengan struktur dari tamadun makhluk asing.
Ada yang berbentuk sfera sempurna, manakala yang lain menyerupai bola ragbi. Walaupun dinamakan ‘Bola Neptun’, ia tiada kaitan langsung dengan planet kelapan dalam sistem suria. Sebaliknya, nama itu diambil sempena dewa laut Rom, Neptun, yang dikatakan mampu mengawal angin dan ribut laut.
Namun, sekumpulan penyelidik dari Sepanyol kini percaya mereka telah menemui jawapan di sebalik fenomena ini.
Menurut penyelidik, bola-bola aneh tersebut sebenarnya adalah gumpalan padat tumbuhan laut yang dikenali sebagai Posidonia oceanica atau lebih dikenali sebagai rumput laut Neptun.
Tumbuhan ini tumbuh di dasar laut Mediterranean, dan daunnya yang gugur akan berkumpul serta bergulung menjadi sfera, seakan-akan ‘belon’ semulajadi di bawah laut.
Lebih menarik, ketika proses pembentukan ini, bola-bola tersebut juga mengumpul pelbagai jenis sisa plastik seperti pembalut makanan, beg plastik, tali, penutup botol dan sebagainya.
Akhirnya, bola-bola ini terdampar di pantai, menjadi peringatan jelas kepada manusia tentang ketagihan plastik yang semakin parah. Dalam erti kata lain, tumbuhan ini secara semula jadi ‘menyaring’ plastik dari laut dan menghantarnya kembali ke daratan.
Menurut para saintis, daun Posidonia oceanica yang bergoyang di dasar laut mula terjerat dengan sisa plastik seawal sebelum ia tercabut dari batangnya lagi.
Antara bahan yang sering ditemui termasuklah mikroplastik, zarah plastik halus yang berukuran kurang daripada lima milimeter dan tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
Lebih mengejutkan, sesetengah Bola Neptun ini juga mengandungi tuala wanita, tampon, dan tisu basah terpakai dipercayai dibuang ke dalam tandas dan tenggelam kerana kandungan selulosa yang tinggi.
“Ia bahan yang tinggi kandungan selulosa, jadi ia mudah tenggelam,” jelas Profesor Anna Sànchez-Vidal, pensyarah sains bumi di Universiti Barcelona kepada BBC. -AGENSI









