KKM hanya ada lima FMS subkepakaran kanak-kanak

KKM hanya ada lima FMS subkepakaran kanak-kanak

DZULKEFLY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) hanya mempunyai lima Pakar Perubatan Keluarga (FMS) dengan subkepakaran kanak-kanak (child health) yang ditempatkan di klinik kesihatan seluruh negara ketika ini manakala tiga lagi sedang menjalani latihan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, semua pakar itu ditempatkan di beberapa negeri termasuk dua di Sabah.

“Buat masa ini terdapat lima FMS dengan subkepakaran kanak-kanak dan tiga lagi sedang dalam latihan.

“KKM mengakui wujud jurang besar iaitu kekurangan tenaga mahir, nisbah ahli terapi rendah berbanding negara serantau, agihan tidak seimbang khususnya di Sabah dan Sarawak serta fasiliti luar bandar yang terhad,” katanya ketika menjawab soalan Senator Dr. R.A. Lingeshwaran di Dewan Negara, semalam.

Menurut Dzulkefly, beberapa strategi giat dilaksanakan bagi menambah baik perkhidmatan, termasuk telerehabilitasi, intervensi berasaskan ibu bapa secara berkumpulan dan perkhidmatan jangkauan komuniti di kawasan luar bandar.

“Selain itu, penambahbaikan turut dibuat melalui agihan tenaga kerja mengikut negeri serta permohonan pertambahan jawatan ahli terapi kesihatan bersekutu kepada Bahagian Sumber Manusia KKM,” jelasnya.

Menurutnya, melalui Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), KKM mencadangkan penubuhan kluster perkhidmatan integratif berpakar di klinik kesihatan yang merangkumi kepakaran perubatan keluarga, hospital serta sokongan klinikal bagi memperkukuh intervensi awal terutama di luar bandar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×