TEl AVIV: Data sulit tentera Israel mendedahkan hanya seorang daripada empat tahanan Palestin dari Gaza dikenal pasti sebagai pejuang, manakala selebihnya terdiri daripada orang awam termasuk kanak-kanak, warga emas, golongan sakit serta pekerja awam.
Siasatan bersama akhbar The Guardian, majalah +972 dan portal Local Call mendedahkan ribuan rakyat Gaza ditahan tanpa perbicaraan di penjara Israel, sesetengahnya dalam keadaan yang digambarkan bekas askar sebagai “penjara geriatrik” kerana menempatkan warga emas, orang kurang upaya dan pesakit.
Antara kes mengejutkan ialah seorang wanita berusia 82 tahun yang menghidap Alzheimer dipenjara enam minggu, selain seorang ibu tunggal yang dipisahkan daripada tiga anaknya.
Selepas dibebaskan 53 hari kemudian, anak-anaknya ditemui merempat dan mengemis di jalanan.
Menurut data Mei lalu, daripada 6,000 warga Gaza yang ditahan di bawah undang-undang kombatan haram, hanya 1,450 individu tersenarai dalam pangkalan maklumat risikan sebagai anggota Hamas atau Jihad Islam Palestin malah, laporan tentera sendiri sebelum ini mengakui sehingga 90 peratus tahanan bukan ahli kumpulan tersebut.
Walaupun pihak tentera mendakwa semua tahanan terlibat dalam aktiviti keganasan iaitu sebanyak lebih 2,000 orang awam telah dibebaskan selepas tiada bukti mengaitkan mereka dengan kumpulan militan namun, ribuan lagi masih ditahan tanpa akses guaman, ada yang berbulan-bulan tanpa dibicarakan.
Beberapa saksi termasuk pegawai perubatan tentera mendedahkan tahanan wanita hamil, pesakit kritikal dan ibu menyusu turut dipenjara.
Kumpulan hak asasi seperti Al Mezan dan HaMoked menegaskan undang-undang kombatan haram Israel digunakan untuk menyembunyikan ribuan orang awam dan menjadikan mereka sebagai alat tawar-menawar politik.
Pengarah kumpulan hak undang-undang Palestin, Adalah, Hassan Jabareen, menyifatkan tindakan itu sebagai pelanggaran serius undang-undang antarabangsa kerana menafikan perlindungan asas terhadap orang awam.
Setakat Ogos lalu, Perkhidmatan Penjara Israel memegang rekod 2,662 tahanan di bawah undang-undang tersebut, dengan jumlah sebenar dipercayai lebih tinggi termasuk mereka yang ditahan di kemudahan tentera. -AGENSI










