PETALING JAYA: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) membentangkan Kertas Putih di Parlimen berhubung trend peningkatan jumlah guru yang memilih untuk bersara awal.
Ketua Penerangan Gerakan, Wendy Subramaniam berkata, fenomena itu mencerminkan wujudnya masalah sistemik dalam sistem pendidikan negara terutama selepas pengenalan norma baharu digitalisasi yang dilihat menambah beban kerja guru dengan ketara.
“Guru semakin terbeban dengan tugasan pentadbiran dan digitalisasi bertindih sehingga hilang fokus mendidik di bilik darjah.
“Malah, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh pernah mengakui faktor hilangnya minat terhadap profesion perguruan mendorong lebih ramai guru meninggalkan kerjaya lebih awal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wendy berkata, statistik rasmi menunjukkan keadaan semakin membimbangkan apabila seramai 5,306 guru bersara awal pada 2022, meningkat kepada 6,394 pada 2023 sebelum merekodkan 5,082 pada tahun lalu.
“Sehingga Mei tahun ini sahaja, seramai 2,397 guru telah meninggalkan profesion sekali gus menunjukkan trend yang konsisten dan merisaukan,” katanya.
Kata beliau lagi, selain isu persaraan awal, Gerakan turut menekankan cabaran lain dalam sistem pendidikan termasuk kes buli pelajar yang berlarutan, kadar keciciran serta kecenderungan ibu bapa menghantar anak ke sekolah antarabangsa dan swasta walaupun berdepan beban kewangan.
“Apabila ibu bapa sanggup berkorban lebih daripada kemampuan demi menghantar anak ke sekolah swasta, ia menimbulkan persoalan sama ada sekolah awam kini dianggap kurang berkualiti. Apa langkah KPM untuk mengembalikan keyakinan rakyat?” soalnya.
Sehubungan itu, beliau berkata, KPM perlu segera membentangkan Kertas Putih di Parlimen bagi menjelaskan pelan tindakan menyeluruh untuk menangani isu tersebut.
“Guru adalah tunjang pendidikan negara. Jika mereka terus dipinggirkan, masa depan anak-anak kita yang akan terjejas,” katanya. – UTUSAN










