TEL AVIV: Puluhan ribu askar simpanan Israel dikerah untuk kembali berkhidmat di Gaza dalam beberapa minggu akan datang di tengah-tengah perdebatan hangat dalam kalangan mereka berhubung keputusan pentadbiran Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu menyambung perang di wilayah itu.
Ia turut mencerminkan perpecahan yang semakin mendalam antara barisan pertahanan pentadbiran di Israel.
Sebahagian daripada anggota simpanan itu perlu membuat keputusan dalam masa hanya beberapa hari.
Sejak Selasa, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mula menggerakkan puluhan ribu askar simpanan selepas memanggil 60,000 anggota untuk menyertai serangan besar-besaran di Gaza City, satu daripada beberapa kawasan yang masih di luar kawalan Israel.
Ramai askar simpanan yang ditemu bual wartawan portal The Guardian minggu lalu mengakui berdepan ‘pilihan sukar’ apabila dipanggil semula, dengan alasan peribadi dan ideologi menjadi faktor utama.
Seorang paramedik tempur yang bertugas di Gaza bulan lalu, Aviad Yisraeli menegaskan berada dalam dilema mengenangkan perlu bertarung di medan yang salah.
“Kami sanggup mengorbankan nyawa. Tetapi hakikatnya kini kami mati sia-sia tanpa sebab,” katanya.
Tak percaya pentadbiran Netanyahu
Ramai juga menentang kerajaan campuran pimpinan Netanyahu dan mahu perang ditamatkan segera bagi membawa pulang tebusan yang masih ditahan Hamas.
“Saya tidak pernah percaya kerajaan ini setiap kali saya kembali berkhidmat sejak Mac 2024, saya melakukannya dengan hati yang berat.
“Jika saya terpaksa pergi sekali lagi, ia hanya kerana komitmen kepada batalion saya, kerana mereka seperti keluarga dan rasa bertanggungjawab besar terhadap mereka,” kata seorang anggota payung terjun berusia 47 tahun yang berkhidmat selama 450 hari sejak serangan Hamas pada 7 Oktober 2023.
Satu tinjauan pada Julai mendapati tiga per empat rakyat Israel menyokong perjanjian membebaskan tebusan, manakala lebih separuh berpendapat kepimpinan perang Netanyahu semakin buruk.
Menurut pakar askar simpanan merangkumi 70 peratus kekuatan penuh IDF dan separuh daripada beberapa unit tempur.
Perkhidmatan simpanan seperti juga kerahan wajib, menjadi institusi budaya dalam kalangan yang layak, terutamanya rakyat Yahudi Israel dan sebilangan kumpulan minoriti.
Ketua Turus IDF, Leftenan Jeneral Eyal Zamir minggu lalu menyifatkan mereka sebagai ‘sumber semula jadi yang sangat berharga’.
Namun, tuntutan besar peperangan di Gaza yang mengerahkan ratusan ribu anggota dengan sebahagiannya berkhidmat sehingga 700 hari adalah sesuatu yang belum pernah berlaku sebelum ini.
Tinjauan terkini mendapati ramai askar simpanan melihat perniagaan dan rumah tangga mereka musnah, dengan 12 peratus menunjukkan tanda-tanda gangguan tekanan selepas trauma (PTSD).
Kos kepada ekonomi juga amat besar, malah ketegangan ini semakin meruncing dengan isu keengganan komuniti ultra-Ortodoks Israel untuk berkhidmat dalam tentera.
“Situasi ini (berperang) bukan mudah untuk dilakukan, namun kami tiada pilihan,” kata Zamir ketika melawat Gaza minggu lalu.
Terdapat juga askar simpanan yang mengelak atau menangguhkan penyertaan mereka dengan alasan sakit, cedera, atau kerana bimbang tentang hubungan dan perniagaan mereka.
Bekas Ketua Sistem Anggota Simpanan IDF, Ariel Heimann menganggarkan, separuh daripada askar simpanan mengadakan protes pada Sabtu tetapi akur berperang keesokan harinya.
Perang tanpa hala tuju
Petisyen dan surat berprofil tinggi yang mendesak agar konflik ditamatkan segera sudah ditandatangani oleh ribuan bekas anggota tentera.
Askar simpanan tentera udara, Maor, 34, sedang mengumpulkan tandatangan untuk satu surat yang sudah menerima 350 sokongan berkata, perang di Gaza kini tidak lagi mempunyai tujuan jelas.
“Selepas 7 Oktober, motivasi untuk mempertahankan negara dan menghancurkan Hamas sangat tinggi. Mereka menahan ratusan tebusan dan menembak roket ke arah kami.
“Tetapi perang ini tidak diurus dengan baik. Tiada strategi yang jelas,” kata Maor, yang sudah berkhidmat selama 200 hari dalam peranan tempur.
Seorang lagi anggota simpanan, Eyal Fidel, 30, sudah memaklumkan kepada komandernya, dia tidak akan kembali menyertai unit artileri.
“Terdapat percanggahan antara apa yang kerajaan mahu dan apa yang rakyat mahu. Penting untuk membuat pendirian dan saya harap dengan menolak secara terbuka akan membawa perubahan.
“Saya bukan orang yang menentang perang secara mutlak. Kami diserang dan saya menyertai tentera, dan ya, anda patut ikut arahan, tetapi ada perintah yang tidak sah dan menjadi tanggungjawab awnda untuk menolaknya,” tegasnya.










