Pernahkah anda mendengar ucapan seorang pemimpin organisasi, ketua jabatan, ketua kumpulan yang mahir berucap atau berpidato dan di akhir ucapan mendapat tepukan gemuruh?
Semua orang rasa kagum mendengar ucapan itu. Tetapi pernahkah anda ukur sejauh mana ucapan tersebut difahami oleh orang menonton atau orang mendengarnya?
Berdasarkan kajian, jika anda berucap 1,000 patah perkataan tanpa menggunakan sebarang audio visual, kurang 100 patah perkataan yang lekat di minda penonton atau pendengarnya.
Manakala jika anda berucap 1,000 patah perkataan dan menggunakan audio visual, hanya 20 hingga 30 peratus daripada jumlah perkataan yang lekat di minda.
Pernahkah anda duduk dalam satu mesyuarat panjang, tetapi pulang dengan rasa keliru? Atau menghadiri kelas, tetapi apa yang diajar hanya tinggal sebagai catatan teks yang membosankan?
Inilah realiti kita hari ini. Ramai yang boleh bercakap panjang lebar, menulis laporan berhelai-helai, tetapi apabila diminta melakar atau menjelaskan idea secara lakaran visual spontan, semuanya jadi kaku.
Inilah masalah besar yang dihadapi oleh sumber manusia hari ini. Mereka mahir berfikir, berkomunikasi (lisan dan teks sahaja) dan melaksana. Cuma mereka tidak pernah dilatih secara formal untuk mahir berkomunikasi secara visual spontan.

Apa itu komunikasi visual spontan? Keupayaan atau kemahiran menggunakan lakaran visual (grafik mudah dan teks) untuk menzahir dan menyampaikan idea kepada kumpulan sasar. Kemahiran ini memerlukan seseorang individu mencipta grafik (lakaran visual & teks) yang mudah dibaca oleh kumpulan sasar.
Malangnya ramai yang mahir membaca visual tetapi tidak mahir mencipta visual untuk komunikasi visual spontan.
Senario ini berlaku kerana kebanyakan kita tidak mahir melakar. Hal inilah yang menyebabkan sumber manusia yang dihasilkan tidak efektif.
Ramai tidak mengetahui hampir semua manusia normal boleh membaca visual tetapi tidak semua mampu menciptanya.
Manakala kemahiran mencipta visual terbahagi kepada dua tahap iaitu kemahiran mencipta visual tahap rendah dan tinggi.
Ramai yang mahir mencipta visual tahap rendah, malangnya hanya segelintir yang mahir untuk tahap tinggi.
Dalam bahasa mudah, perlu mahir melakar tahap tinggi untuk mencipta visual tahap tinggi.
Untuk menguasai kemahiran mencipta visual tahap tinggi, masyarakat perlu diberikan pendidikan secara formal dan tidak ada jalan pintas.
Bagaimana kita boleh melahirkan sumber manusia yang mahir komunikasi visual spontan? Melahirkan sumber manusia berkualiti memerlukan masa panjang dan perancangan strategik.
Kita perlu memastikan semua peringkat pembuat dasar faham kepentingan komunikasi visual spontan kepada pembentukan sumber manusia dinamik.
Mereka adalah kunci utama kepada proses pembudayaan komunikasi visual spontan. Manakala guru dan ibu bapa adalah penggerak utama kepada agenda ini kerana mereka terlibat secara langsung dengan pelajar dalam tiga peringkat pendidikan iaitu rendah, menengah dan tinggi.
Sekiranya kita bersetuju dengan strategi ini, guru-guru dan ibu bapa perlu dilatih mahir komunikasi visual spontan.
Mereka perlu diberikan latihan secara komprehensif dalam memastikan ilmu dan kemahiran mencukupi untuk membudayakan komunikasi visual spontan kepada pelajar dan anak-anak mereka.
Bukan satu usaha yang mudah untuk dicapai tetapi percayalah setiap garisan yang cantik bermula dengan sambungan titik-titik berkualiti. Titik-titik inilah yang mewakili usaha-usaha kita untuk memastikan sumber manusia di masa akan datang menguasai komunikasi visual spontan.
Mengapakah saya secara konsisten berkempen kepada pembuat dasar, guru-guru, ibu bapa dan pelajar-pelajar tentang komunikasi visual spontan akan mempengaruhi kualiti sumber tenaga manusia?

Penerangannya mudah menggunakan empat domain yang mempengaruhi kehidupan manusia seharian.
Domain berfikir, berkomunikasi, melaksana dan mindset. Keempat-empat domain perlu berfungsi secara optimum untuk mendapatkan kesan positif yang optimum.
Kemahiran komunikasi visual spontan terletak dalam domain komunikasi. Jika gagal dalam komunikasi maka semua kerja yang dibuat menjadi sia-sia. Penerangan tentang perkara ini saya bincangkan secara mendalam dalam buku saya Profits From Visuals. Buku ini boleh menjadi rujukan penting kepada agenda besar yang saya gagaskan dalam perenggan sebelum ini.
Komunikasi digital memang penting untuk menjadikan sumber tenaga manusia yang lebih efektif. Kita tidak dapat lari daripada menggunakannya kerana kita hidup dalam era digital.
Namun, kita juga tidak boleh mengabaikan peranan komunikasi visual spontan. Lazimnya, komunikasi digital digunakan untuk menyampaikan maklumat yang lebih komprehensif, manakala komunikasi visual spontan berfungsi untuk komunikasi segera dan pantas.
Hakikatnya, dalam kehidupan seharian kita, hampir 70 peratus daripada komunikasi berlaku secara spontan. Justeru, penguasaan komunikasi visual spontan sangat penting untuk memastikan setiap komunikasi harian benar-benar berkesan.
Sumber tenaga manusia yang dinamik tidak hanya bergantung pada kepintaran berfikir, kebolehan berkomunikasi secara lisan atau teks, serta kecekapan melaksanakan tugas.
Mereka perlu menguasai komunikasi visual spontan sebagai kemahiran teras untuk menjadikan setiap interaksi lebih jelas, berkesan, dan berimpak tinggi.
Dalam era digital ini, komunikasi visual spontan melengkapkan komunikasi digital dengan memberi nilai tambah kepada komunikasi seharian yang kebanyakannya berlaku secara spontan.
Pembuat dasar berperanan penting merangka strategi nasional yang mengiktiraf kepentingan komunikasi visual spontan sebagai asas pembangunan sumber manusia.
Guru pula menjadi agen pelaksana utama yang menyemai kemahiran ini dalam PdP, manakala ibu bapa berperanan menyokong pembudayaan komunikasi visual di rumah.
Pelajar sebagai generasi penerus pula perlu dilatih sejak awal agar terbiasa berfikir dan menyampaikan idea melalui visual. Apabila semua pihak berganding bahu, barulah lahir sumber manusia yang dinamik, kreatif dan relevan dengan cabaran masa depan.
Saya sedang mencari organisasi yang berjiwa besar untuk menaja buku Profits From Visuals bagi diedarkan ke semua institusi pendidikan rendah, menengah, dan tinggi.
Matlamat utama adalah untuk menyemai kesedaran betapa pentingnya kemahiran komunikasi visual spontan dalam melahirkan sumber tenaga manusia dinamik. Selain penajaan buku, sokongan juga diperlukan bagi menjayakan program latihan seperti Visual Teachers dan Visual Parents, yang menjadi langkah awal dalam merealisasikan gagasan besar yang saya perjuangkan.
Sekiranya organisasi anda atau individu prihatin berminat menaja buku atau program ini, hubungi saya di talian 016-2287607. Setiap sumbangan adalah satu pelaburan untuk masa depan pendidikan dan pembangunan negara.











