40,000 sertai marathon dalam pusat beli-belah di Dubai

40,000 sertai marathon dalam pusat beli-belah di Dubai

ACARA Mallathon itu melibatkan sembilan pusat beli-belah di Dubai. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUBAI: Dubai sekali lagi mencuri perhatian dunia apabila mencatat rekod baharu Guinness World Record bagi acara larian dalam pusat beli-belah terbesar, selepas lebih 40,000 orang mengambil bahagian dalam inisiatif kecergasan sebulan penuh yang dikenali sebagai Dubai Mallathon.

Program yang berlangsung sepanjang Ogos 2025 itu menjadikan pusat beli-belah utama di Dubai sebagai trek larian dalaman, menawarkan ruang selesa dan berhawa dingin untuk komuniti setempat kekal aktif.

Acara kemuncak pada 1 September di Dubai Hills Mall menyaksikan 1,392 peserta berlari serentak, sekali gus mengesahkan rekod dunia bagi jumlah peserta terbanyak dalam larian di pusat beli-belah, menurut Emirates News Agency (WAM).

Mallathon kali ini melibatkan sembilan pusat beli-belah termasuk The Dubai Mall dan Festival Plaza, dengan trek dibuka setiap hari dari jam 7 pagi hingga 10 pagi.

Sepanjang 31 hari, para peserta mencatat lebih 120 juta langkah menjadikannya antara gerakan kecergasan komuniti terbesar pernah dianjurkan di Dubai.

Inisiatif yang dianjurkan di bawah naungan Putera Mahkota Dubai merangkap Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Pertahanan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Hamdan bin Mohammed bin Rashid Al Maktoum, kini diumumkan akan menjadi acara tahunan bermula 2026.

Edisi seterusnya bakal berlangsung selama tiga bulan, dari 15 Jun hingga 15 September, dengan matlamat memperluas penyertaan daripada semua lapisan masyarakat.

Menteri Belia, Dr. Sultan Al Neyadi, memuji kejayaan Mallathon yang disertai ramai anak muda, sambil menekankan peranan mereka dalam membentuk masa depan negara.

“Penglibatan besar golongan belia membuktikan pentingnya mereka dalam menjayakan inisiatif komuniti. Sukan memberi inspirasi, ruang ekspresi diri, serta memperkukuh kesejahteraan fizikal dan mental,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×