BOSTON: Mahkamah persekutuan Amerika Syarikat (AS) semalam memutuskan pentadbiran Presiden Donald Trump bertindak secara tidak sah apabila membatalkan geran bernilai AS$2.2 bilion (RM9 bilion) yang diberikan kepada Universiti Harvard, sekali gus melarang kerajaan daripada menghentikan dana penyelidikan kepada institusi berprestij itu.
Hakim Daerah, Allison Burroughs yang membuat keputusan tersebut menyifatkan ia sebagai kemenangan besar kepada Harvard dalam usaha universiti tertua dan terkaya di negara itu menamatkan pertikaian berpanjangan dengan Rumah Putih.
Universiti berpusat di Cambridge, Massachusetts itu menjadi sasaran utama kempen pentadbiran Trump yang mahu menggunakan dana persekutuan bagi memaksa perubahan di kampus-kampus AS, dengan mendakwa universiti dikuasai ideologi radikal kiri dan anti-Yahudi.
Burroughs, yang dilantik ketika pentadbiran Barack Obama, menegaskan walaupun usaha menentang antisemitisme adalah wajar, tindakan Rumah Putih jelas bermotifkan tekanan politik dan bertentangan dengan Perlembagaan AS yang menjamin kebebasan akademik.
“Adalah tanggungjawab mahkamah untuk memastikan penyelidikan penting tidak sewenang-wenangnya dihentikan kerana agenda politik,” katanya.
Mahkamah turut menghalang kerajaan daripada membekukan dana sedia ada, enggan membuat pembayaran, atau menolak geran baharu kepada Harvard pada masa depan.
Keputusan itu dibuat hanya seminggu selepas Trump dalam mesyuarat Kabinet menuntut Harvard membayar pampasan tidak kurang daripada AS$500 juta (RM2 bilion) jika mahu menyelesaikan pertikaian dengan pentadbirannya.
Tiga lagi universiti Ivy League sebelum ini sudah mencapai persetujuan dengan kerajaan, termasuk Universiti Columbia yang bersetuju membayar AS$220 juta (RM929 juta) bagi mendapatkan semula dana penyelidikan yang digantung berhubung dakwaan membiarkan antisemitisme berleluasa.
Tindakan terhadap Harvard turut dikaitkan dengan gelombang protes pro-Palestin yang melanda kampus universiti-universiti AS selepas serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 dan perang Israel di Gaza.
Selain pembatalan geran, pentadbiran Trump juga cuba menyekat kemasukan pelajar antarabangsa ke Harvard, mengancam status akreditasi, serta menuduh universiti itu melanggar undang-undang hak sivil persekutuan. -AGENSI










