WEMBLEY: Penyanyi utama Coldplay, Chris Martin, berdepan kritikan selepas didakwa memalukan dua peminat Yahudi yang dibawa naik ke pentas di Stadium Wembley, apabila mereka menerima sorakan bercampur ejekan selepas mendedahkan bahawa mereka berasal dari Israel.
Insiden itu berlaku pada malam Ahad ketika Martin, 48, menjemput dua penonton dikenali sebagai Avia dan Tal setelah terlihat papan tanda mereka yang bertulis ‘We Believe In Magic’, merujuk kepada salah satu lagu Coldplay.
Namun, apabila menyatakan mereka datang dari Israel, sebahagian penonton bersorak manakala sebahagian lagi mengejek. Situasi itu mendorong pelantun lagu Yellow itu menenangkan keadaan dengan berkata bahawa beliau akan melayan mereka sebagai manusia yang sama rata di bumi, tanpa mengira dari mana asalnya.
Kenyataan itu mencetuskan reaksi daripada beberapa kumpulan Yahudi yang mendakwa Martin telah ‘menyahmanusiakan’ peminat berkenaan.
Dalam usaha meredakan keadaan, Martin turut mengalu-alukan kehadiran peminat Palestin di stadium yang disambut dengan sorakan lebih kuat daripada penonton. Namun, tindakan itu juga dikritik oleh sebahagian kumpulan Yahudi.
Konsert di Wembley itu berlangsung ketika Coldplay sedang menjayakan jelajah dunia Music of the Spheres. Ia juga berlaku hanya beberapa minggu selepas band tersebut mencetuskan kontroversi lain apabila segmen ‘kiss cam’ mereka secara tidak sengaja mendedahkan hubungan sulit antara seorang Ketua Pegawai Eksekutif syarikat teknologi dengan ketua sumber manusianya.
“Saya amat berterima kasih kerana anda hadir sebagai manusia, dan saya melayan anda sebagai manusia yang sama rata di bumi, tanpa mengira dari mana anda datang. Terima kasih kerana berada di sini, kami sangat gembira bertemu anda,” kata Martin di atas pentas.
“Walaupun ia mungkin kontroversi, saya juga ingin mengalu-alukan mereka dalam kalangan penonton yang datang dari Palestin, atas kepercayaan bahawa kita semua adalah manusia yang setara,” tambahnya.
Dalam temu bual bersama penyiar Kan seperti dilaporkan Jewish Chronicle, wanita berkenaan berkata mereka ada terfikir untuk
mengaku berasal dari Malta, tetapi akhirnya mengakui berasal dari Israel.
“Kami tidak mampu dan tidak mahu menipu. Memang agak menakutkan apabila 90,000 orang tahu kami berasal dari sini, tetapi kami tetap mengatakannya,” tambahnya.-AGENSI











